Menjejakkan kaki dan melepak di restoran mamak telah menjadi satu perkara normal dan diterima sebagai sebahagian syarat menjadi rakyat Malaysia. Boleh dikatakan, hampir di setiap kawasan tidak kiralah di bandar atau sebaliknya mempunyai restoran mamak yang sedia terbuka tujuh hari seminggu dan 24 jam sehari. Di situlah kita akan melihat senyum tawa para pekerja mamak yang sentiasa bersedia melayan segala permintaan para pelanggan restoran.
Akan tetapi, satu kajian dari sekumpulan pelajar undang-undang UiTM tentang pekerja mamak di negara ini dan perbandingannya dengan Akta Kerja telah mengejutkan ramai pihak. Ini kerana, dapatan mereka mendedahkan bahawa pekerja mamak di Shah Alam dan juga kemungkinan di seluruh negara telah bekerja lebih dari yang sepatutnya.
Berikut adalah antara dapatan kajian:
- 95% pekerja mamak bekerja 12 jam sehari dan 5% lagi bekerja 10 jam sehari.
- Pekerja mamak hanya mendapat cuti sekurang – kurangnya selepas bekerja selama 3 tahun.
- Majoriti pekerja mamak hanya kembali ke negara asalnya (berjumpa keluarga dan sebagainya) selepas 3 tahun bekerja.
Perkara itu didapati selepas mereka menemubual antara satu hingga tiga orang pekerja di sembilan buah restoran mamak yang berbeza di Shah Alam. Mereka turut mendapati secara puratanya pekerja mamak hanya menerima sekitar 5.33 hari cuti tahunan, itu pun selepas bekerja sekurangnya tiga tahun.
Dalam pada itu, pelajar undang-undang UiTM, Awangku Ariff menjelaskan bahawa pasukannya hanya menemubual pekerja mamak dengan jumlah yang kecil dalam tempoh sebulan. Maka, data mereka itu kemungkinannya tidak begitu tepat dalam memberikan gambaran sebenar tentang realiti yang berlaku.
Beliau juga menambah yang pihaknya agak sukar mendapatkan data disebabkan mereka terpaksa meyakinkan pekerja bahawa mereka bukannya pihak berkuasa. Malah, ramai pekerja yang takut untuk membawa isu ini ke hadapan.
Isu ini sekali lagi membuka mata kita tentang masalah eksploitasi di kalangan pekerja asing di negara ini. Pada akhir 2020, polis telah menahan tiga beradik warga tempatan dipercayai terlibat dalam jenayah mengeksploitasi pekerja warga asing sebagai pekerja pembersihan di sekitar Melaka. Antara jenayah yang dilakukan termasuklah tidak membayar gaji dan mengurung warga asing berkenaan.
Sumber: Twitter (aaradhia) & The Rakyat Post.
__________
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021