Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri.
Antaranya termasuklah bantuan-bantuan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan dibayar dari 1 hingga 10 Julai 2022 ini. Berikut adalah senarai bantuan kewangan yang terlibat:
Bantuan Kanak-Kanak (BKK)
BKK adalah bantuan yang diberikan kepada keluarga / penjaga kepada anak / kanak-kanak atau membantu anak / kanak-kanak yang tiada /kehilangan penjaga untuk dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mengikut peringkatnya. Jumlah bantuannya adalah sebanyak RM150 sebulan seorang sehingga maksimum RM1,000 sebulan sekeluarga.
Bantuan Am Persekutuan & Negeri
Bantuan Am ini diberikan kepada individu atau keluarga yang kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti. Jumlahnya adalah sebanyak minimum RM100/seorang dan maksimum RM350/sekeluarga.
Bantuan Warga Emas (BWE)
BWE diperkenalkan bagi membantu golongan warga emas yang memerlukan untuk mereka meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti. Jumlah bantuan yang terlibat adalah sebanyak RM500/sebulan.
Bantuan Anak Pelihara (BAP)
BAP pada asasnya adalah bantuan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik, yatim / yatim piatu, tidak mempunyai saudara-mara bagi terus tinggal di dalam masyarakat bersama-sama dengan keluarga pelihara. Jumlahnya adalah sebanyak RM250/seorang kanak-kanak dan maksimum RM500/sekeluarga yang memelihara 2 orang kanak-kanak atau lebih.
Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT)
BPT adalah bertujuan untuk ,eringankan bebanan keluarga / penjaga dan menggalakkan keluarga / penjaga untuk menjaga ahli keluarga yang OKU terlantar / sakit terlantar / sakit kronik. Jumlahnya adalah sebanyak RM500/sebulan kepada yang berkelayakan.
Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU)
EPOKU ialah sebuah insentif yang diberikan bagi menggalakkan OKU untuk terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif. Jumlah elaun yang diberikan adalah sebanyak RM450/sebulan.
Maklumat Tambahan
Bagi mereka yang telah diluluskan permohonannya, pembayaran akan dilaksanakan dari 1 Julai hingga 10 Julai 2022 secara berperingkat seperti mana bulan-bulan sebelum ini.
Manakala, untuk maklumat lanjut, syarat-syarat kelayakan dan cara memohon bagi setiap bantuan yang disenaraikan, ia boleh dibaca di Portal Rasmi JKM – DI SINI.