Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri. Antaranya adalah bantuan-bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 oleh Kerajaan Persekutuan.
Bantuan-bantuan ini bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan sama ada dari kalangan mereka berpendapatan rendah (B40) atau sederhana (M40). Berikut adalah senarai bantuan-bantuan yang telah dibayar kepada yang layak dari Januari hingga Jun 2024: –
Bantuan-bantuan yang telah dibayar dari Januari hingga Jun 2024
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 dan Fasa 2
Seperti mana ramai telah maklum, Sumbangan Tunai Rahmah atau STR adalah bantuan tunai yang dibayar secara berfasa setiap tahun. Bagi tahun 2024 ini, STR Fasa 1 telah pun dibayar kepada yang layak pada bulan Januari lalu dan Fasa 2 pula pada bulan April lalu. Penerima yang layak pula merangkumi kategori isi rumah, bujang dan warga emas.
Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) adalah bantuan tunai di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk semua murid dan bertujuan bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa/penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan.
Pembayaran bantuan ini dibuat secara one-off (sekali bayar) sebanyak RM150 kepada setiap murid mulai Januari 2024. Manakala, bagi pelajar baru Tahun 1 dan Tingkatan 1, pembayaran telah pun dibuat pada bulan Mac 2024 lalu.
Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
SARA adalah bantuan tambahan sebanyak RM1,200 atau RM600 kepada penerima STR sedia ada yang menepati syarat-syarat berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Pembayaran SARA ini bagi penerima di Semenanjung akan dikreditkan di MyKad masing-masing setiap bulan mulai Januari hingga Disember 2024. Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, bayaran RM600 atau RM300 dibayar dua kali setahun pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024.
Bantuan e-Dompet eMADANI
Program eMADANI ini adalah kesinambungan kepada kejayaan program e-dompet Kerajaan sebelum ini dan mempunyai objektif tiga serampang untuk memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS), menggalakkan pembayaran tanpa tunai (cashless) dan memanfaatkan rakyat.
Bantuan ini melibatkan pemberian kredit e-Dompet sebanyak RM100 dan boleh digunakan bagi pembelian secara fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih. Syarat-syarat kelayakan eMADANI adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia; dan
- Mencapai umur 21 tahun ke atas pada tahun 2023; dan
- Merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November 2023;atau
- Mempunyai pendapatan berjumlah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 15 Julai 2023.
Tempoh pendaftaran dan tuntutan eMADANI ini boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak, mulai jam 8.00 pagi, 4 Disember 2023 hingga 11.59 malam, 20 Februari 2024, manakala kredit eMADANI serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan sehingga 11.59 malam, 29 Februari 2024.
JOM MASUK TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Tahun 2024
Bayaran ini pada asasnya merupakan sumbangan kerajaan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 561 dan ke bawah yang dilantik secara tetap, sementara, Contract of Service2 serta pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred Jawatan Utama/ Gred Khas, dengan syarat pegawai masih berkhidmat pada 23 Februari 2024.
Kadar yang ditetapkan pula adalah sebanyak RM2,000 kepada yang masih berkhidmat dan RM1,000 kepada para pesara Kerajaan. Turut
layak menerima bayaran ini adalah guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas serta mereka yang berkhidmat di bawah Program Personel MySTEP dengan syarat telah berkhidmat sekurang-kurangnya selama enam (6) bulan pada tahun 2023.
Bayaran ini telah pun disalurkan kepada yang layak 23 Februari lalu secara kredit terus ke akaun penerimanya.
Bagi maklumat lebih lengkap lagi berkenaan bantuan-bantuan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan, boleh rujuk di Portal Rasmi Belanjawan 2024 – DI SINI.