Keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat telah menjadi antara salah satu isu utama di kalangan masyarakat. Prihatin dengan hal itu, pihak Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan kepada mereka yang memerlukan di bawah Belanjawan 2024.
Antaranya adalah dengan melaksanakan bantuan khusus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang benar-benar memerlukan. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan berkenaan: –
Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Sumbangan Asas Rahmah atau SARA adalah sebuah bantuan tambahan kepada para penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memerlukan. Bantuan ini juga berbentuk subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.
Pada tahun 2024 ini, SARA dijangka akan memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
Manfaat utama SARA adalah bantuan sebanyak RM1,200 kepada isi rumah dan RM600 pula kepada golongan bujang. Berikut adalah maklumat syarat-syarat kelayakan SARA 2024:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Pelaksanaan SARA
Pelaksanaan SARA akan dilaksanakan secara dua kaedah utama kepada penerima dari Semenanjung Malaysia dan dari Sabah serta Sarawak:
Penerima daripada Semenanjung Malaysia
Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.
Penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan
Bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024
Bagi penerima di Semenanjung, mereka boleh membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
Pada masa ini, terdapat lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Penerima boleh membeli barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan iaitu beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Cara Menggunakan SARA
Bagi di Semenanjung, akaun akan dibuka berdasarkan MyKad penerima dalam sistem MyKasih di mana elaun perbelanjaan akan disimpan. Penerima juga akan menerima Sistem Pesanan Ringkas / aplikasi WhatsApp (SMS) daripada MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima di bawah program ini, berserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.
Cara membuat pembelian pula seperti berikut:
- Pilih Barangan Keperluan: Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 13 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
- Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan: Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
- Imbas Kod Barangan: Juruwang mengimbas setiap barang keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
- Bayar Menggunakan MyKad: Penerima bantuan memasukkan nombor pin 6-digit untuk mengesahkan transaksi pembelian.
- Simpan Resit Untuk Semakan: Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Dimaklumkan bahawa pembelian adalah terhad kepada barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan sahaja. Pembelian selain barangan tersebut dan pembelian melebihi baki semasa SARA dalam MyKad perlu dibayar oleh penerima.
Bagi maklumat lebih lengkap dan terperinci berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI.