Belanjawan tahunan merupakan dokumen penting yang menggambarkan perancangan kewangan sebuah kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri. Ia menjadi panduan utama bagi pentadbiran negara dalam memastikan sumber kewangan digunakan secara optimum untuk memenuhi keperluan rakyat serta mencapai objektif pembangunan ekonomi dan sosial.
Setiap tahun, belanjawan ini dibentangkan di Dewan Rakyat (Persekutuan) dan Dewan Undangan Negeri (Negeri) untuk memberi gambaran jelas kepada rakyat tentang hala tuju kerajaan dalam mengurus perbelanjaan dan hasil negara.
Di peringkat persekutuan, belanjawan sering memberi penekanan kepada sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur, dan pertahanan. Selain itu, ia juga merangkumi pelbagai inisiatif seperti insentif cukai, bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, serta strategi bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara di peringkat global. Peruntukan persekutuan ini biasanya memberi impak besar kepada semua negeri kerana ia melibatkan agihan dana untuk projek nasional dan bantuan pembangunan tempatan.
Manakala di peringkat negeri, belanjawan lebih tertumpu kepada keperluan khusus komuniti setempat. Ia meliputi pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, dan perkhidmatan awam yang lebih dekat dengan rakyat.
Kerajaan negeri juga memainkan peranan penting dalam merancang inisiatif yang relevan untuk menyokong sektor ekonomi utama seperti pertanian, pelancongan, atau perindustrian bergantung kepada kekuatan ekonomi setiap negeri.
Belanjawan juga menyediakan bantuan-bantuan kepada mereka yang memerlukan dan berkelayakan. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan yang telah diperkenalkan: –
Bantuan Khas Kewangan (BKK)
Melalui Belanjawan 2025 Sabah, pihak Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak sebulan gaji dengan bayaran minimum RM3,000.
Bantuan ini akan diberikan kepada semua penjawat awam negeri, termasuk pekerja berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian yang berkhidmat dengan kerajaan negeri.
Menurut Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bantuan ini akan memberi manfaat kepada seramai 18,949 orang penerima dan akan dibayar pada bulan Januari 2025.
“Kita sedar penjawat awam negeri adalah merupakan nadi utama jentera dan pentadbir perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, selain daripada pelarasan gaji, Kerajaan Sabah juga ingin membawa khabar gembira kepada para penjawat awam negeri Sabah dengan memberikan bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000.
“Ini termasuklah yang berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian. Bayaran bantuan khas kewangan ini yang melibatkan seramai 18,949 orang dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada bulan Januari 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Sabah.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Bantuan-Bantuan Lain
Dalam masa sama, pihak Kerajaan Negeri Sabah turut akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar di negeri berkenaan.
Golongan miskin dan miskin tegar yang layak diberikan bantuan itu telah dikenal pasti menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat. Ia juga diharapkan dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang tinggi kini.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga peruntukkan RM488.5 juta bagi melaksanakan pelbagai program membasmi kemiskinan. RM250 juta pula diperuntukan bagi pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan DUN, peningkatan peruntukan 100 peratus berbanding belanjawan tahun ini.
Bagi peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah, pihak Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM5,000.
Peruntukan RM19.5 juta pula diperuntukkan untuk Program Pembangunan Kecil, Program Penyediaan Kemudahan dan Pembaikan Kawasan, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.