Penjawat awam merupakan tulang belakang kepada pembangunan negara, memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar, menyampaikan perkhidmatan, dan memastikan kestabilan sistem pentadbiran. Dalam memastikan golongan ini terus berdaya saing dan produktif, keperluan untuk memperkenalkan inisiatif kerajaan yang menyeluruh menjadi semakin mendesak.
Namun begitu, penjawat awam sering berdepan dengan cabaran yang pelbagai, termasuk kos sara hidup yang meningkat, beban kerja yang semakin berat, dan keperluan untuk mengikuti perubahan teknologi dan peraturan. Justeru, inisiatif kerajaan yang bersasar bukan sahaja dapat meringankan beban mereka, tetapi juga memberi motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.
Antara keutamaan utama dalam inisiatif ini termasuklah kenaikan gaji yang bersesuaian, pelaksanaan subsidi atau bantuan khas seperti skim perumahan dan pendidikan, serta memperkukuhkan sokongan kebajikan seperti rawatan kesihatan percuma atau insurans khas untuk penjawat awam. Langkah-langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan mereka, malah memberi impak positif kepada produktiviti sektor awam secara keseluruhan.
Selain itu, terdapat juga bantuan-bantuan yang diperkenalkan khusus kepada mereka seperti Bantuan Khas Kewangan (BKK). Ini adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan khas yang telah diperkenalkan: –
Bantuan Khas Kewangan RM2,000
Di bawah Belanjawan 2025 Kedah, pihak Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM2,000 kepada 5,376 penjawat awam di negeri berkenaan sebagai penghargaan atas dedikasi mereka.
Bantuan ini akan dibayar secara berperingkat iaitu pada bulan Mac dan Jun 2025 nanti.
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini adalah sebanyak RM12 juta. Kerajaan negeri menghargai komitmen penjawat awam negeri dalam memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan dilaksanakan dengan cemerlang,” kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika membentangkan Belanjawan 2025 Kedah.
Maklumat Tambahan
Selain itu, terdapat beberapa lagi buah negeri yang turut memperkenalkan Bantuan Khas Kewangan. Antaranya adalah Kerajaan Negeri Selangor yang bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada para penjawat awamnya.
Pembayaran satu bulan akan dibayar pada 31 Disember ini dan sebulan lagi akan dilunaskan pada 25 Mac tahun hadapan (2025) bersempena menyambut Aidilfitri.
Manakala, Kerajaan Negeri Pahang pula mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam negeri berkenaan.
Pembayaran bantuan khas ini akan dikreditkan pada tahun 2025 dengan membabitkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM33.3 juta.
Bagi para penjawat awam Negeri Sembilan, mereka akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji. Bantuan itu akan diberikan kepada 6,613 penjawat awam negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“BKK akan dibayar pada Januari dan sebelum Aidilfitri pada Mac 2025 bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Persidangan Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Negeri.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Di Kelantan, Kerajaan Negeri setuju memberikan bantuan sama dengan kadar RM500 setiap penerima. Mereka yang layak adalah semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak. Pembayaran akan dibuat pada bulan Februari tahun depan sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka.
Dalam masa sama, Kerajaan Sabah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan atau bonus sebulan gaji dengan bayaran minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam Sabah.
Bantuan khas itu akan dibayar pada bulan Januari 2025 depan dan akan memberi manfaat kepada seramai 18,949 penjawat awam negeri. Pekerja berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian yang berkhidmat dengan kerajaan negeri juga layak menerima bantuan ini.
“Oleh itu, selain daripada pelarasan gaji, Kerajaan Sabah juga ingin membawa khabar gembira kepada penjawat awam negeri Sabah dengan memberikan bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000.
“Bayaran bantuan khas kewangan ini yang membabitkan seramai 18,949 orang penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada Januari 2025,” petikan pembentangan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.