Warga emas adalah aset berharga dalam sesebuah masyarakat. Mereka bukan sahaja menjadi saksi perjalanan kemajuan negara, tetapi juga penyimpan tradisi, pengalaman, dan kebijaksanaan yang tidak ternilai.
Di Malaysia, jumlah warga emas semakin meningkat, selari dengan peralihan negara ke arah masyarakat yang semakin menua. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2030, dijangka hampir 15% penduduk negara akan terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas. Hal ini menjadikan keperluan menjaga kesejahteraan warga emas sebagai isu yang semakin penting untuk diberi perhatian.
Cabaran utama yang dihadapi oleh warga emas termasuk kesihatan, keselamatan kewangan, dan kesejahteraan sosial. Dengan peningkatan kos rawatan kesihatan dan keperluan penjagaan khas, ramai warga emas bergelut untuk menampung perbelanjaan hidup, terutamanya bagi mereka yang tiada simpanan mencukupi atau tidak menerima sokongan daripada ahli keluarga.
Di samping itu, isu kesepian dan pengabaian juga menjadi kebimbangan utama apabila sesetengah warga emas ditinggalkan tanpa perhatian atau sokongan sosial yang memadai. Untuk menangani cabaran ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti bantuan kewangan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kemudahan kesihatan subsidi, serta program komuniti yang melibatkan warga emas secara aktif.
Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan sokongan semua pihak, termasuk ahli keluarga, NGO, dan masyarakat umum, bagi memastikan warga emas menikmati kehidupan yang bermaruah dan sejahtera. Sebagai generasi yang lebih muda, tanggungjawab kita adalah untuk menghormati dan menghargai sumbangan mereka.
Dalam masa sama, pihak Kerajaan juga telah memperkenalkan bantuan yang dikenali sebagai Bantuan Warga Emas (BWE). Ini maklumat lanjut tentang bantuan bulanan ini: –
Bantuan Warga Emas (BWE)
Di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat sebuah bantuan yang dikenali sebagai Bantuan Warga Emas atau BWE. Bantuan ini berobjektif untuk meringankan beban warga emas (yang memenuhi kriteria kelayakan) untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup.
Di bawah Belanjawan 2025, pihak Kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan ini kepada RM600 setiap bulan, berbanding RM500 setiap bulan sebelum ini.
“Kadar bantuan kebajikan bulanan kepada rakyat miskin akan ditingkatkan. Kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 sebulan ketimbang RM500 sebulan,” petikan ucapan Belanjawan 2025.
Syarat-Syarat Kelayakan BWE
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa; dan
- Warga emas yang bukan tinggal di:
- Institusi kendalian JKM; atau
- Pusat jagaan harian/ berkediaman yang memberi kemudahan / perkhidmatan secara percuma.
Cara Memohon BWE
Bagi yang menepati syarat-syarat kelayakan, permohonan BWE boleh dilaksanakan dengan mengisi JKM 18 Borang Permohonan Bantuan yang boleh didapati di portal rasmi JKM atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian JKM di seluruh negara.
Borang itu perlu dilengkapkan dengan maklumat yang tepat dan sahih. Ia kemudiannya perlu dilampirkan bersama salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Setiap permohonan akan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
Untuk info lanjut tentang Bantuan Warga Emas atau BWE, sila rujuk di Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat – DI SINI.