Bersara merupakan satu fasa kehidupan yang dinantikan oleh kebanyakan individu setelah bertahun-tahun bekerja. Namun, kehidupan selepas bersara bukan sekadar berehat dan menikmati masa lapang, tetapi juga menuntut perancangan yang rapi agar dapat menjalani usia emas dengan tenang dan selesa. Tanpa persediaan yang mencukupi, golongan pesara mungkin berdepan pelbagai cabaran, terutamanya dalam aspek kewangan, kesihatan, dan kesejahteraan sosial.
Salah satu cabaran utama yang sering dihadapi oleh pesara ialah kewangan yang terhad. Apabila tidak lagi menerima gaji tetap, mereka perlu bergantung sepenuhnya kepada simpanan, pencen, atau bantuan daripada anak-anak. Tanpa perancangan kewangan yang baik, golongan ini mungkin mengalami kesukaran menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Selain itu, masalah kesihatan juga menjadi kebimbangan utama. Seiring dengan peningkatan usia, risiko penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, dan masalah jantung semakin meningkat. Kos rawatan yang mahal boleh menjadi beban jika mereka tidak mempunyai perlindungan insurans kesihatan yang mencukupi.
Selain aspek kewangan dan kesihatan, pesara juga sering menghadapi cabaran dari segi kesejahteraan mental dan sosial. Setelah bertahun-tahun sibuk dengan pekerjaan, mereka mungkin merasa kekosongan apabila tidak lagi mempunyai rutin harian yang tetap.
Rasa kesunyian boleh menjejaskan kesihatan mental, terutamanya bagi mereka yang tinggal bersendirian atau kurang berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan. Oleh itu, amat penting bagi pesara untuk mencari aktiviti yang bermanfaat seperti menyertai persatuan, melakukan kerja amal, atau meneruskan hobi yang diminati.
Bagi memastikan kehidupan selepas bersara lebih selesa, perancangan awal perlu dilakukan. Mempunyai simpanan yang mencukupi atau melabur dalam skim persaraan seperti KWSP atau pencen kerajaan dapat memastikan mereka mempunyai sumber kewangan yang stabil.
Selain itu, mendapatkan perlindungan insurans kesihatan juga sangat penting untuk mengurangkan beban kewangan jika berlaku sebarang masalah kesihatan. Pesara juga digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara berkala dan menjaga pemakanan bagi mengekalkan kesihatan yang baik.
Kesimpulannya, kehidupan selepas bersara boleh menjadi satu tempoh yang indah dan bermakna sekiranya dirancang dengan baik. Dengan persediaan kewangan yang mantap, penjagaan kesihatan yang rapi, serta penglibatan dalam aktiviti sosial, golongan pesara dapat menikmati usia emas mereka dengan lebih berkualiti dan bahagia.
Oleh hal demikian, terdapat pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi membantu golongan pesara. Antaranya adalah dengan memberikan Bantuan Khas Kewangan atau BKK.
Bantuan Khas Kewangan (BKK)
Bagi tahun 2025 ini, Kerajaan Negeri Sabah telah memperkenalkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 13,000 pesara kerajaan Sabah.
Pembayaran bantuan itu akan dibuat secara ‘one-off’ dan dikreditkan terus ke akaun penerima sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor – bayaran bantuan khas ini adalah merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada para pesara kerajaan yang tidak melupakan sumbangan bakti mereka kepada negeri sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
“Kerajaan negeri akan memberi bantuan khas kewangan RM1,000 kepada semua pesara kerajaan negeri Sabah yang akan kita bayar sebelum Aidilfitri tahun depan. Sebelum ini kita sudah umumkan bayaran kepada penjawat awam negeri iaitu minimum RM3,000 yang akan kita bayar tahun depan.
“Jadi, saya rasa tidak adil bagi pesara kerajaan yang banyak memberi khidmat bakti kepada negeri jika kita tidak beri. Kerana itulah saya ingin umumkan di sini, kita akan beri kepada setiap pesara kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS).
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Maklumat Tambahan
Selain itu, Kerajaan Negeri Perak turut memperkenalkan ‘bonus raya’ atau Bantuan Khas Kewangan Raya (BKK Raya) sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam negeri berkenaan.
Bantuan khas ini akan dimanfaatkan oleh 13,582 penjawat awam negeri dan turut diberikan kepada guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ) serta pekerja sambilan harian.
Pembayaran bantuan khas ini akan disalurkan pada 24 Mac 2025 dan membabitkan RM10 juta implikasi kewangan kepada kerajaan negeri. Berdasarkan rekod, jumlah bantuan khas Raya pada kali ini menunjukkan peningkatan berbanding RM1,000 sempena Aidilfitri tahun lalu.