Golongan B40 merujuk kepada 40% rakyat Malaysia yang berada dalam kumpulan pendapatan terendah. Mereka merupakan sebahagian besar daripada masyarakat yang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pendapatan tidak tetap, serta akses yang terhad kepada kemudahan asas seperti penjagaan kesihatan, pendidikan berkualiti dan perumahan yang selesa.
Dalam konteks ekonomi semasa yang mencabar, keperluan golongan ini semakin mendesak dan memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak – baik kerajaan, sektor swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
Salah satu keperluan utama golongan B40 adalah kestabilan pendapatan. Ramai dalam kalangan mereka bergantung kepada kerja harian, pekerjaan tidak formal atau gaji minimum yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan asas. Ini menjadikan mereka mudah terdedah kepada krisis kewangan sekiranya berlaku kecemasan seperti kehilangan pekerjaan atau masalah kesihatan.
Selain itu, akses kepada pendidikan yang berkualiti dan latihan kemahiran juga amat penting bagi membolehkan golongan ini keluar daripada kitaran kemiskinan. Program bantuan persekolahan, biasiswa, dan inisiatif latihan vokasional boleh memainkan peranan besar dalam membina masa depan yang lebih stabil dan berdaya saing untuk generasi akan datang.
Keperluan kesihatan dan perlindungan sosial turut menjadi aspek yang kritikal. Ramai antara mereka tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan swasta atau memiliki perlindungan insurans, menjadikan bantuan kerajaan dan klinik awam sebagai satu-satunya harapan.
Oleh itu, memahami keperluan sebenar golongan B40 adalah langkah pertama dalam merangka dasar dan program yang benar-benar inklusif dan memberi impak.
Oleh itu, antara usaha Kerajaan adalah dengan memperkenalkan pelbagai jenis bantuan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Berikut adalah senarai bantuan bulanan yang telah diperkenalkan: –
Bantuan Kanak-Kanak (BKK)
Bantuan ini diperkenalkan bagi membantu keluarga / penjaga kepada anak / kanak-kanak atau membantu anak / kanak-kanak yang tiada / kehilangan penjaga supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mengikut peringkatnya.
Ia juga bertujuan untuk membantu ibu/ bapa/ penjaga memelihara anak/ kanak-kanak yang memerlukan dan memperkukuhkan institusi keluarga termasuk yang berada di dalam tahanan/ buang daerah dalam memberi jagaan yang sempurna kepada anak/ kanak-kanak.
Kadar bantuan ini ditetapkan sebanyak minima RM200 sebulan seorang sehingga maksimum RM1,000 sebulan mengikut pecahan berikut:
- RM250 seorang bagi anak berumur 6 tahun dan ke bawah;
- RM200 seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun.
Syarat-syarat kelayakannya adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
- Keluarga/ penjaga yang memberi jagaan kepada anak/ kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun;
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; atau
- Keluarga/ penjaga dan anak/ kanak-kanak yang tinggal menumpang bersama ibu/ bapa mereka/ penjaga/ saudara-mara/ lain-lain layak dipertimbangkan sekiranya pendapatan bulanan pemohon tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa;
- Anak/ kanak-kanak tiada penjaga yang layak, kerana ibu/ bapa bukan warganegara/ diisytiharkan bankrap atau muflis/ ibu/ bapa OKU Mental, bantuan boleh diluluskan atas nama kanak-kanak berkenaan;
- Anak/ kanak-kanak yang menerima Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMBPK)/ Elaun Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan apa-apa bantuan bulanan daripada JKM tidak layak menerima BKK; dan
- Anak/ kanak-kanak yang berumur 16 tahun ke atas yang telah bekerja sepenuh masa dan tidak bersekolah tidak layak menerima BKK.
Bantuan Warga Emas (BWE)
Bantuan ini pula diberikan kepada warga emas bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti. Kadarnya ditetapkan sebanyak RM600 setiap bulan.
Syarat-syarat kelayakan BWE adalah:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
- Berumur 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; atau
- Warga Emas yang tiada anak (sebatang kara) layak dipertimbangkan bantuan sekiranya tinggal bersama/ menumpang ahli keluarga lain/ penjaga yang mempunyai pendapatan melebihi PGK Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa/ PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; dan
- Warga emas yang bukan tinggal di institusi kendalian JKM atau Pusat jagaan harian/ berkediaman (yang menerima Geran Rangsum) dan memberi kemudahan/ perkhidmatan secara percuma.
Bantuan Anak Pelihara
Kadar bantuan ini ditetapkan sebanyak minima RM250 sebulan seorang kanak-kanak dan maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih.
Objektif utama bantuan ini adalah bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik, yatim/ yatim piatu, tidak mempunyai saudara-mara supaya terus tinggal di dalam masyarakat bersama-sama dengan keluarga pelihara. Ia juga untuk meringankan tanggungan keluarga pelihara yang sanggup menjaga anak-anak pelihara seperti anak sendiri.
Syarat-syarat kelayakan Bantuan Anak Pelihara ditetapkan seperti berikut:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
- Keluarga yang sedang memberi jagaan kepada kanak-kanak seperti berikut:
- Kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun;
- Kanak-kanak mestilah warganegara Malaysia;
- Kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa;
- Kanak-kanak bukan diambil sebagai anak angkat menerusi Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952; atau
- Kanak-kanak tinggal bersama dengan keluarga pelihara seperti berikut:
- Kanak-kanak yang diambil dari “Program Anak Pelihara” yang dikendalikan oleh JKM; atau
- Kanak-kanak yang dipelihara di bawah Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001; atau
- Kanak-kanak yang dijaga oleh waris atau keluarga ganti yang mempunyai pertalian saudara dan berkelayakan serta bukan melalui Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dan mana-mana Undang-Undang Mahkamah berkaitan; atau
- Kanak-kanak yang tinggal di Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan secara percuma adalah tidak layak.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Cara Memohon Bantuan Bulanan JKM
Bagi permohonan bantuan-bantuan bulanan JKM, ia boleh dikemukakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan/ Bahagian/ Cawangan di seluruh negara.
Bagi memudahkan urusan permohonan, dokumen-dokumen seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami/ isteri/ ibu/ bapa/ anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak/ ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan perlu dibawa ketika membuat permohonan.
Dimaklumkan, setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon.
Untuk maklumat lanjut tentang bantuan-bantuan bulanan JKM, sila rujuk di Portal Rasminya – DI SINI.