Memiliki rumah sendiri merupakan impian kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda dan keluarga baharu. Ia bukan sahaja simbol kestabilan hidup, malah menjadi aset penting untuk masa depan. Namun, realiti di sebalik impian ini jauh lebih mencabar daripada yang dijangkakan. Harga rumah yang semakin meningkat, pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup, serta syarat ketat pinjaman perumahan menjadikan proses memiliki rumah semakin sukar dicapai.
Bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah, cabaran ini lebih terasa. Ramai terpaksa menyewa dalam jangka masa panjang atau tinggal bersama keluarga kerana tidak mampu menyediakan wang pendahuluan, apatah lagi menanggung komitmen bulanan yang tinggi. Di kawasan bandar pula, masalah kekurangan rumah mampu milik dan pembangunan hartanah mewah yang tidak setara dengan keperluan rakyat biasa menambahkan lagi tekanan terhadap mereka yang ingin memiliki rumah pertama.
Dalam situasi ini, wujud keperluan mendesak untuk penyelesaian jangka panjang seperti perumahan kos rendah berkualiti, skim pembiayaan lebih fleksibel, dan dasar perumahan yang benar-benar berpihak kepada rakyat. Memiliki rumah bukan sekadar cita-cita — ia adalah keperluan asas yang sepatutnya boleh dicapai oleh semua lapisan masyarakat.
Oleh itu, terdapat pelbagai jenis program telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan. Antara adalah dengan adanya Program Rumah Mesra Rakyat (RMR).
Program Rumah Mesra Rakyat (RMR)
Program Rumah Mesra Rakyat atau RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.
Ciri-ciri utama Rumah Mesra Rakyat adalah:
- Konsep Rumah: Sesebuah satu (1) tingkat, 3 bilik tidur dan 2 bilik air;
- Keluasan tanah (tertakluk kepada rekabentuk): 3,000 kps (279 mps);
- Harga: RM75,000 dan RM85,000;
- Subsidi (pembinaan): RM 20,000.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia;
- Pemohon mestilah berumur 18 tahun dan ke atas;
- Pendapatan bulanan seisi rumah di antara RM 750 hingga RM 5,000;
- Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri / atau memiliki rumah usang / tidak sempurna;
- Tanah/tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas daripada gadaian/bebanan/sekatan ke atasnya. Jika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah yang dicadangkan;
- Keluasan tanah tidak kurang daripada 3,000 kps (tertakluk kepada rekabentuk);
- Tertakluk kepada peruntukan kewangan;
- Tempoh bayaran bulanan (16 tahun hingga 25 tahun);
- Jumlah bayaran bulanan (RM300 di semua kawasan).
Makluman: Keperluan penama kedua berumur 18-41 tahun adalah bagi pemohon yang berumur melebihi 42 tahun di seluruh Malaysia. Bagi permohonan penama kedua, pemohon perlu memberikan maklumat pasangan serta jumlah tanggungan.
Cara Memohon
Bagi permohonan RMR, ia boleh dikemukakan secara atas talian (online) di Sistem RMR Online Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Pemohon juga perlu mengemukakan dokumen-dokumen berikut ketika membuat permohonan:
- Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkenaan);
- Salinan kad pengenalan tuan tanah;
- Salinan kad pengenalan pemohon kedua (jika berkaitan);
- Salinan geran hakmilik tanah terbaru dan sijil carian rasmi dari Pejabat Tanah yang terbaru;
- Slip gaji terkini (3 bulan) / surat akuan sumpah pendapatan / surat pengesahan pendapatan pemohon / pemohon kedua;
- Surat akuan sumpah / surat pengesahan tidak memiliki rumah atau memiliki rumah yang usang;
- Surat akuan kebenaran pelepasan tuan tanah;
- Salinan sijil nikah pemohon;
- Borang laporan tapak bergambar.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Sekiranya permohonan diluluskan, pemohon hendaklah melaksanakan tindakan berikut:
- Perlu mengisi dan melengkapkan borang permohonan;
- Perlu menyediakan tapak cadangan termasuk jalan masuk untuk pembinaan;
- Perlu menyediakan sumber bekalan air dan elektrik;
- Perlu membuat penyambungan bekalan utiliti setelah rumah disiapkan;
- Perlu membuka akaun bank bagi pembayaran balik bulanan.
Bagi maklumat lengkap berkenaan RMR, sila rujuk di Portal Rasmi SPNB – DI SINI.