Dalam landskap sosial Malaysia yang semakin kompleks, peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi semakin penting sebagai agensi utama yang memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara. Dengan perubahan ekonomi, peningkatan kos sara hidup serta pelbagai cabaran sosial yang muncul dari semasa ke semasa.
JKM berfungsi sebagai benteng sokongan yang membantu golongan memerlukan meneruskan kehidupan dengan lebih bermaruah. Agensi ini bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah turut menumpukan usaha ke arah pemulihan, perlindungan dan pembangunan sosial bagi memastikan setiap rakyat berpeluang menjalani kehidupan yang stabil dan produktif.
Antara peranan utama JKM ialah menguruskan pelbagai skim bantuan kewangan untuk golongan yang benar-benar memerlukan, seperti warga emas, ibu atau bapa tunggal, OKU, serta keluarga yang menghadapi tekanan ekonomi. Melalui bantuan ini, JKM berusaha memastikan tiada golongan tercicir daripada keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, pendidikan dan rawatan kesihatan. Selain bantuan kewangan, JKM turut memainkan peranan penting dalam memberi perlindungan kepada kanak-kanak, mangsa keganasan rumah tangga dan warga emas yang terabai melalui pusat penjagaan dan perkhidmatan pemulihan sosial.
JKM juga terlibat dalam usaha membina masyarakat yang sejahtera melalui program pembangunan komuniti, kaunseling, intervensi sosial serta latihan kemahiran untuk membantu individu kembali berdikari. Di samping itu, JKM berfungsi sebagai rakan strategik kepada pelbagai agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta bagi memperkukuh jaringan sokongan sosial negara.
Secara keseluruhannya, JKM bukan sahaja menjadi penyedia bantuan, tetapi juga tonggak yang memastikan kesejahteraan sosial Malaysia kekal terjamin. Peranan mereka melangkaui sekadar memberi bantuan, tetapi turut membina harapan dan peluang untuk golongan rentan mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
Sesuai dengan peranannya, pelbagai jenis bantuan bulanan telah diperkenalkan oleh JKM dan berikut adalah senarainya.
Bantuan Am Persekutuan
Bantuan Am Persekutuan merupakan sebuah bantuan bulanan JKM yang diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar bantuan ini ditetapkan sebanyak minima RM150 dan maksimum RM500 setiap bulan. Berikut adalah maklumat syarat-syarat kelayakannya:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa;
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain;
- Faktor-faktor lain yang difikirkan sesuai dengan mengambil kira keadaan ekonomi, kesihatan dan tanggungan pemohon.
Bantuan Kanak-Kanak
Bantuan Kanak-Kanak bertujuan bagi membantu keluarga / penjaga kepada anak / kanak-kanak atau membantu anak / kanak-kanak yang tiada / kehilangan penjaga supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangannya.
Ia juga bagi membantu ibu / bapa / penjaga memelihara anak / kanak-kanak yang memerlukan dan memperkukuhkan institusi keluarga termasuk yang berada di dalam tahanan / buang daerah dalam memberi jagaan yang sempurna kepada anak / kanak-kanak.
Kadar bantuan ini ditetapkan minima RM200 dan maksimum RM1,000 mengikut keperluan dan pecahan umur penerima. Syarat-syarat kelayakan seperti dinyatakan:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
- Keluarga / penjaga yang memberi jagaan kepada anak / kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun;
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; atau
- Keluarga / penjaga dan anak / kanak-kanak yang tinggal menumpang bersama ibu / bapa mereka / penjaga / saudara-mara / lain-lain layak dipertimbangkan sekiranya pendapatan bulanan pemohon tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa;
- Anak / kanak-kanak tiada penjaga yang layak, kerana ibu / bapa bukan warganegara / diisytiharkan bankrap atau muflis / ibu / bapa OKU Mental, bantuan boleh diluluskan atas nama kanak-kanak berkenaan;
- Anak / kanak-kanak yang menerima Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMBPK) / Elaun Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan apa-apa bantuan bulanan daripada JKM tidak layak menerima BKK;
- Anak / kanak-kanak yang berumur 16 tahun ke atas yang telah bekerja sepenuh masa dan tidak bersekolah tidak layak menerima BKK.
Bantuan Warga Emas (BWE)
Bantuan Warga Emas pula ditetapkan sebanyak RM600 setiap bulan. Bantuan ini berobjektif untuk membantu warga emas untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Syarat-syarat kelayakan BWE seperti berikut:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
- Berumur 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; atau
- Warga Emas yang tiada anak (sebatang kara) layak dipertimbangkan bantuan sekiranya tinggal bersama/ menumpang ahli keluarga lain / penjaga yang mempunyai pendapatan melebihi PGK Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa / PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; dan
- Warga emas yang bukan tinggal di institusi kendalian JKM atau Pusat jagaan harian / berkediaman (yang menerima Geran Rangsum) dan memberi kemudahan / perkhidmatan secara percuma.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Cara Memohon
Bagi permohonan bantuan-bantuan bulanan JKM, ia hendaklah dikemukakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat. Akan tetapi, diingatkan bahawa pemohon hendaklah menepati syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan terlebih dulu.
Setiap permohonan juga akan menjalani sisatan bagi memastikan penerima adalah benar-benar layak.
Bagi info lebih lengkap tentang bantuan-bantuan di bawah JKM, sila ke portal rasminya – DI SINI.





