Mahkamah Buruh Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu memutuskan sebuah syarikat untuk membayar RM36,002 kepada dua orang pekerja kawalan keselamatan sebagai pampasan pemberhentian kerja dan bayaran kerja lebih masa (OT) tertunggak.
Menang kes berkenaan, Kanagavalli dan Kovalan telah mula bekerja sebagai pengawal keselamatan yang diupah oleh syarikat Dura Guard masing-masing pada April 2018 dan November 2019. Mereka kemudiannya ditugaskan untuk mengawal keselamatan di sebuah kondomunium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Pada mulanya, mereka dijanjikan gaji berjumlah RM1,200 dan elaun tetap sebanyak RM500 (menjadikan gaji bulanan mereka RM1,700). Akan tetapi, pihak majikan menetapkan untuk mereka bekerja 12 jam sehari, tanpa cuti rehat mingguan mahupun cuti umum berbayar.
Malah, mereka juga tidak menerima sebarang dokumen perkhidmatan dan slip gaji. Lebih menyedihkan, sekiranya mereka mengambil cuti – gaji mereka akan dipotong.
Menjelang Julai 2020, mereka berdua telah diberhentikan serta merta oleh syarikat berkenaan atas alasan berlakunya ketidaksefahaman antara mereka dengan pihak pengurusan bersama (JMB) kondominium. Pemberhentian mereka itu tanpa sebarang notis dan tawaran pertukaran ke tempat lain.
Tidak berpuas hati dengan layanan itu, mereka berjumpa dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kes mereka seterusnya difailkan di Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur.
Selepas berlakunya perbicaraan, Mahkamah Buruh Kuala Lumpur mendapati pihak majikan gagal membayar OT, sedangkan mereka perlu bekerja lebih 4 jam pada setiap hari, termasuk pada cuti umum dan hari minggu. Mahkamah juga mendapati elaun sebanyak RM500 setiap bulan itu pula tidak sepadan dengan kadar OT.
Selepas meneliti isu tersebut, pada 19 Mac lalu – Mahkamah memutuskan Dura Guard perlu membayar semua tuntutan gaji lebih masa yang tidak dilunaskan dan bayaran ganti notis pemberhentian kerja mereka. Majikan juga diarahkan supaya membayar amaun itu dalam masa dua minggu selepas tarikh keputusan kes.
“Syabas kepada pekerja yang berani berjuang! Keputusan kes ini akan menjadi panduan kepada semua pengawal keselamatan bahawa mereka harus diberikan bayaran kerja lebih masa (OT) seperti yang termaktub dalam Akta Kerja 1955 untuk kerja secara terus selama 12 jam sehari. Elaun tetap RM500 setiap bulan tidak boleh dianggap sebagai kiraan OT.” – A. Sivarajan, wakil pekerja yang juga Setiausaha Agung PSM.
Sumber: SOSIALIS.NET
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021