Baru-baru ini kecoh di media sosial tentang terakamnya tindakan seorang guru tadika praktikal yang mencampak seorang anak murid. Menerusi video berdurasi 10 saat itu, ia jelas memaparkan kanak-kanak berkenaan terlebih dahulu ditolak sebelum dilempar dan dimarahi guru wanita tersebut.
Difahamkan, selepas video itu tular di media sosial, polis telah pun memulakan siasatan terhadap guru terbabit. Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib setelah pihaknya menerima laporan polis daripada ibu mangsa.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.” – Katanya, petikan dari Utusan Malaysia.
Namun begitu, tahukah kita tentang kes seorang guru yang telah dibawa ke mahkamah oleh anak muridnya sendiri?
Perkara itulah yang terjadi selepas seorang bekas pelajar SMK Taun Gusi, Kota Belut, Sabah – Nafirah Siman yang bertindak menyaman seorang guru atas kejadian didakwa berlaku pada 2015 ketika beliau berada di tingkatan 4.
Kisahnya terjadi selepas Nafirah mendakwa guru Bahasa Inggerisnya itu tak datang mengajar selama lebih kurang 7 bulan berturut-turut. Malah, kerana tindakan gurunya yang tidak datang mengajar itu juga didakwa oleh Nafirah menjadi punca dirinya gagal subjek berkenaan.
Pada mulanya, Nafirah tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap guru terbabit, tetapi hanya membuat aduan kepada pihak sekolah. Namun, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak sekolah.
Selain itu, Nafirah turut mendakwa pengetua sekolah telah memalsukan rekod kehadiran guru tersebut ketika Kementerian Pendidikan datang menyiasat. Pengetua itu juga dikatakan cuba menimbulkan prasangka terhadap aduan Nafirah itu.
Melihat cara itu sudah tidak berkesan lagi, Nafirah pun mengambil keputusan saman yang bukan sahaja terhadap guru terbabit, tetapi juga – pengetua sekolah, pegawai Jabatan Pendidikan Kota Belud, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Persekutuan Malaysia.
Kes ini akhirnya didengar di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 2 hingga 6 November tahun lalu. Dalam perkembangan terbaru, pada Disember 2020 – media melaporkan tiga orang lagiĀ pelajar memfailkan saman terhadap guru sama. Mereka adalah Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung, melalui firma guaman Tetuan Roxana & Co.
Mereka mendakwa, guru tersebut (dikenali sebagai Mohd Jainal) hadir ke sekolah secara tidak konsisten, hadir ke kelas lewat dan meninggalkan kelas lebih awal. Guru itu turut didakwa dengan sengaja gagal, menolak dan/atau tidak mengendahkan untuk mengajar murid-murid mengikut sukatan pelajaran seperti yang ditetapkan.
Kes ini masih lagi berjalan dan berkemungkinan akan mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum diputuskan.
Sumber: Utusan Malaysia, Malaysiakini & Asklegal.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021