Seorang pekerja pembersihan maut selepas kepalanya tersepit pada besi peranti pengangkat tong sampah di Taman Victoria, Ipoh pada Rabu lalu.
Mangsa, Ganesan, 54 dilaporkan ketika kejadian berdiri di belakang sebelah kiri lori dan cuba mengalihkan kayu tersangkut di pintu besi peranti yang menghalang proses memampat muatan sampah.
Bagaimanapun, tangan kiri mangsa tertarik alat kawalan sistem hidraulik besi peranti pengangkat tong sampah, sehingga menyebabkan ia terangkat lalu menghimpit kepala mangsa.
Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), tetapi kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang hari sama.
Rentetan dari kejadian itu, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan menjalankan siasatan terperinci dan telah mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan serta-merta bagi menyemak dan menambah baik prosedur kerja selamat sedia ada.
JKKP turut mengarahkan majikan menambahbaik latihan yang diperlukan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko semasa mengendalikan lori sampah.
Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, tindakan juga akan diambil sekiranya siasatan mendapati adanya sebarang pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam kerana majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.
“Mereka bertanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja, membuat analisis dan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti,” katanya, petikan dari Utusan Malaysia.
Kes ini bukanlah kali pertama berlaku, kerana pada November tahun lalu seorang pekerja pembersihan turut maut selepas kepalanya tersepit di pintu hidraulik lori sampah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Jalan Usahawan 6, Kampung Air Panas.
Sumber: Utusan Malaysia & Sinar Harian.
______
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021