Bermula pada 1 hingga 14 Jun 2021 ini, seluruh negara akan diletakkan di bawah sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bagi mengekang penularan pandemik yang masih belum reda.
Walaupun begitu, seperti mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, pelaksanaan PKP 3.0 sudah semestinya akan tetap memberi kesan kepada masyarakat yang sedikit atau banyak terjejas kehidupan mereka kerana pelaksanaannya.
Menyedari hal itu, pihak kerajaan telah memperkenalkan program PEMERKASA Tambahan (PEMERKASA+) bernilai RM40 bilion bagi merangsang ekonomi dan membantu rakyat menghadapi PKP 3.0. Pelbagai program bantuan telah diperkenalkan atau ditambah baik melalui program ini, antaranya:
1. BPR Tambahan
Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di bawah BPR Tambahan dengan jumlah bantuan seperti berikut:
- Isi rumah pendapatan bawah RM2,500:
- RM500
- Isi rumah pendapatan RM2,501 hingga RM5,000:
- RM300
- Bujang pendapatan bawah RM2,500:
- RM100
BPR Tambahan ini akan mula dikreditkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun 2021. Bayaran ini adalah tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak 2.4 bilion ringgit.
2. Bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium
Semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas kerana kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan, ATAU pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan.
Maklumat lebih terperinci tentang perkara ini akan diumumkan oleh pihak bank yang terlibat.
3. Program Subsidi Upah di bawah PERKESO
Program Subsidi Upah di bawah PERKESO akan dilanjutkan selama sebulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan, ditanggung oleh kerajaan.
Dijangka 2.5 juta pekerja dan lebih 200 ribu majikan akan menerima manfaat dari inisiatif ini.
4. Geran Khas Prihatin (GKP) dinaikkan
Jumlah bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) akan dinaikkan dari RM1,000 kepada RM1,500 dan dijangka akan dimanfaatkan oleh hampir 1 juta PKS dan perusahaan mikro.
Para penerima akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai.
5. Bantuan Khas secara one-off RM500
Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, pemandu bas sekolah, pemandu bas persiaran dan pemandu kereta sewa serta e-hailing. Kerajaan memperuntukkan RM68 juta untuk bantuan ini dan akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai 2021.
Program PEMERKASA+ dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu mempertingkat kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda Prihatin Rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021