Seperti mana yang semua sedia maklum, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu sehingga 28 Jun ini.
Apa yang pasti, pelaksanaan PKP 3.0 ini semestinya memberi kesan besar kepada pelbagai golongan – khususnya kepada para peniaga, mereka yang makan gaji hari, pemain industri hospitaliti, pengurusan majlis, katering, perlancongan dan sebagainya.
Malah sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sendiri berkata, bahawa sekatan dan kawalan pergerakan secara penuh (total lockdown) akan menyebabkan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak, bilangan isi rumah miskin akan bertambah, prestasi syarikat kecil dan besar akan terjejas dan kedudukan fiskal akan berada dalam keadaan yang lebih mencabar.
Berbeza dengan pelaksanaan PKP 1.0 dan 2.0, majoriti rakyat ketika itu boleh dikatakan menarik nafas lega atas perkenalan pelbagai program bantuan, termasuklah pengeluaran i-Sinar yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka memulakan semula pekerjaan atau perniagaan serta menstabilkan punca pendapatan.
Akan tetapi, menjelang perkembangan terbaru ini – nampaknya keluh resah rakyat semakin kedengaran akibat kesempitan hidup yang tidak ada lagi sandaran bantuan yang lebih baik dari sebelumnya.
Malah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini turut mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 pada kadar separuh untuk tempoh tiga bulan.
Ia rentetan dengan laporan keuntungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM19.3 bilion pada suku pertama 2021.
Kebanyakan masyarakat di media sosial juga turut sama mendesak kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan i-Sinar 2.0 bagi meringankan beban mereka.
Oleh hal yang demikian, telah berlegar di media sosial tentang sebuah petisyen: “Mohon Penerusan Skim Pengeluaran iSinar+ untuk 6 bulan terakhir 2021” yang dilancarkan oleh SurvivorInMalaysia.
Petisyen ini dilancarkan dengan harapan semoga pihak kerajaan akan mempertimbangkan skim pengeluaran baru/tambahan i-Sinar + dari Akaun 1 KWSP untuk tempoh 6 bulan terakhir 2021.
“…bagi membantu rakyat marhaen (terutamanya golongan B40, M40) yang terjejas dalam perbelanjaan dan meneruskan kehidupan harian mereka.” – petikan dari keterangan petisyen itu.
Petisyen berkenaan setakat ketika artikel ini ditulis telah menerima lebih 68 ribu tandatangan. Bagi yang berminat untuk menyokong atau melihat petisyen berkenaan, ia boleh diakses DI SINI.