Golongan B40 atau 40 peratus kelompok pendapatan terendah di Malaysia, sering menjadi fokus utama dalam pelbagai dasar dan program kerajaan. Mereka terdiri daripada individu dan keluarga yang memperoleh pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM4,850, bergantung kepada statistik terkini.
Cabaran hidup mereka berakar umbi dalam kos sara hidup yang semakin meningkat, akses terhad kepada peluang pendidikan dan pekerjaan, serta keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan penjagaan kesihatan.
Sebagai tulang belakang ekonomi negara, golongan B40 memainkan peranan penting dalam sektor seperti perladangan, perindustrian, dan perkhidmatan. Namun, mereka sering terdedah kepada risiko ekonomi yang tinggi, seperti kehilangan pekerjaan, bencana alam, atau krisis kesihatan. Cabaran ini bukan sahaja memberi kesan kepada kualiti hidup mereka tetapi juga menjejaskan keupayaan mereka untuk keluar dari kitaran kemiskinan.
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan ini, termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH), skim perlindungan kesihatan, dan subsidi tertentu.
Di samping itu, terdapat usaha untuk memperkasakan golongan B40 melalui pendidikan, latihan kemahiran, dan program keusahawanan. Matlamatnya adalah untuk memberikan mereka peluang yang lebih luas untuk meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
Namun, usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak—kerajaan, sektor swasta, NGO, dan masyarakat umum. Dalam masa sama, pihak Kerajaan turut memperkenlkan pelbagai bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka. Ini adalah antara bantuan kewangan yang diperkenalkan: –
Bantuan Am Kerajaan
Di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat sebuah bantuan kewangan yang dikenali sebagai Bantuan Am Persekutuan. Bantuan ini pada asasnya diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar bantuan ini pada asalnya adalah minima RM100 sebulan seorang dan maksimum RM350 sekeluarga. Akan tetapi, di bawah Belanjawan 2025 – mulai tahun ini pemberian bantuan ini dinaikkan kepada minima RM150 sebulan seorang dan maksimum RM500 sebulan sekeluarga.
“Untuk Wilayah Persekutuan, Kadar Bantuan Am juga dinaikkan kepada RM150 ketimbang RM100 dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak RM500 sebulan,” petikan ucapan pembentangan Belanjawan 2025.
Syarat-Syarat Kelayakan Bantuan Am Persekutuan
- Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain.
Cara Memohon
Bagi permohonan Bantuan Am Persekutuan, ia boleh dikemukakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan, sesuai dengan syarat kelayakan yang ditetapkan.
Bagi memudahkan permohonan, pemohon dikehendaki membawa salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan ketika hadir membuat permohonan.
Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
Bagi maklumat rasmi berkenaan Bantuan Am Persekutuan, sila rujuk di Portal Raski JKM – DI SINI.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Maklumat Tambahan
Bagi Bantuan Am Negeri pula, jumlah bantuan dan syarat-syarat kelayakan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing. Sebagai contoh, Bantuan Am Negeri Perak dinaikkan dari RM300 kepada RM400 pada tahun 2023.
Langkah peningkatan itu tepat pada masanya memandangkan kos sara hidup merupakan satu isu yang turut membelenggu rakyat ketika ini termasuk penerima bantuan.
“Kos sara hidup turut dihadapi oleh golongan penerima bantuan ini seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU). Penjagaan golongan tersebut turut melibatkan wang, jadi kenaikan (bantuan) tersebut dilihat berupaya meringankan beban mereka atau penjaga.
“Peningkatan bantuan ini kelak bakal melegakan keresahan penerima yang berhadapan dengan masalah untuk menampung keperluan asas seperti makanan, melunaskan bayaran bil utiliti dan lain-lain keperluan,” kata Pengarah JKM negeri, Nor Tipah Majin, petikan dari KOSMO.