Keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat telah menjadi antara salah satu isu utama di kalangan rakyat Malaysia. Prihatin dengan hal itu, pihak Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan kepada mereka yang memerlukan di bawah Belanjawan 2024.
Antaranya adalah dengan melaksanakan bantuan khusus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang benar-benar memerlukan. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan berkenaan: –
LHDNM / MyKasih – Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan sebuah program lanjutan kepada inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di bawah Belanjawan MADANI Kedua (Belanjawan 2024) yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dengan kerjasama MyKasih.
Ia bertujuan sebagai sebuah bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup. Bantuan ini juga boleh dikatakan sebagai bantuan tambahan kepada penerima STR 2024.
Berikut adalah syarat-syarat khusus SARA 2024:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Jumlah Bayaran Bantuan
Kadar pembayaran SARA adalah sebanyak RM1,200 (kepada isi rumah dan warga emas) dan RM600 (kepada bujang). Akan tetapi, kaedah pembayarannya berbeza mengikut penerima di Semenajung, serta Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagi penerima di Semenanjung, pembayaran SARA akan dibuat setiap bulan dengan kadar RM100/RM50 ke MyKad setiap penerima yang layak. Pembayaran pertama akan dilakukan mulai 22 Januari 2024, manakala bayaran seterusnya mulai Februari 2024 akan disalurkan ke akaun MyKad penerima pada 1 hari bulan setiap bulan seperti jadual di bawah:
Mereka kemudiannya boleh membuat pembelian barangan keperluan asas dengan MyKad masing-masing secara tanpa tunai. Antara barangan yang boleh dibeli adalah beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Pembelian selain barangan tersebut dan pembelian melebihi baki semasa SARA dalam MyKad perlu dibayar oleh penerima. Bagi baki elaun bulanan yang tidak habis digunakan akan dibawa ke bulan-bulan seterusnya dan boleh digunakan bersama dengan elaun bulan semasa.
Akan tetapi, sebarang baki elaun yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2024 akan luput secara automatik.
Cara menggunakan MyKad untuk buat pembelian adalah seperti berikut:
- Pilih Barangan Keperluan: Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 13 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
- Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan: Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
- Imbas Kod Barangan: Juruwang mengimbas setiap barang keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
- Bayar Menggunakan MyKad: Penerima bantuan memasukkan nombor pin 6-digit untuk mengesahkan transaksi pembelian.
- Simpan Resit Untuk Semakan: Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Bagi pembayaran kepada penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, pembayarannya akan dibuat seperti mana pembayaran STR iaitu secara kredit terus ke akaun penerima atau pengambilan tunai di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) terdekat (bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank atau akaun tidak aktif).
Pembayaran dibuat sebanyak dua kali iaitu bayaran pertama mulai 19 Februari 2024 dan bayaran kedua mulai 4 September 2024.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Semakan Kelulusan Bantuan
Bagi urusan semakan kelayakan SARA, ia boleh dibuat secara atas talian (online) di Portal Rasmi STR seperti tatacara berikut:
- Klik log masuk MySTR;
- Masukkan Nombor MyKad Pemohon;
- Pengesahan Kata Kunci Keselamatan;
- Masukkan Kata Laluan;
- Klik Semakan Status;
- Maklumat yang akan dipaparkan:
- Status Permohonan
- Maklumat Pembayaran (Jika Ada)
Selain itu, penerima SARA yang layak akan menerima Sistem Pesanan Ringkas / aplikasi WhatsApp (SMS) daripada MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima di bawah program ini, berserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.
Bagi maklumat lebih lengkap dan terperinci berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI.