Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) adalah sebuah strategi kerajaan bagi melonjakkan kembali ekonomi negara yang berdepan dengan keadaan sukar akibat pandemik yang melanda.
Pelbagai bantuan juga diperkenalkan di bawah PEMERKASA, antaranya termasuklan Bantuan PRIHATIN Kasih yang diperkenalkan untuk meringankan kos sara hidup bagi golongan miskin dan golongan miskin bandar.
Kaedah Pelaksanaan
PRIHATIN Kasih adalah sebuah bantuan makanan tanpa tunai dengan kaedah pemberian RM100 selama tiga bulan (jumlah keseluruhan RM300) kepada mereka yang layak.
Menariknya, pemberian bantuan itu adalah berbentuk elaun yang dikreditkan ke dalam MyKad dan penerima boleh menggunakannya bagi membeli barangan keperluan makanan secara tanpa tunai dengan kad pengenalan masing-masing.
Kelayakan PRIHATIN Kasih
Akan tetapi, bantuan ini tidak melibatkan sebarang permohonan kerana penerimanya telah pun dipilih dan dikenalpasti sebagai mereka yang layak menerima melalui data JKM serta sistem e-Kasih yang telah disemak silang dengan data Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Hal ini bermakna, walaupun seseorang itu berada dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,850 sebulan – mereka masih lagi akan disaring melalui data JKM, e-Kasih dan BPR.
Pembayaran PRIHATIN Kasih
Pembayaran PRIHATIN Kasih dilaksanakan secara berperingkat dengan menyaksikan Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu – telah pun selesai pada bulan September dan Oktober 2021 lalu.
Manakala, untuk penerima dari Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Putrajaya dan Labuan – pengkreditan elaun dijangka selesai pada bulan Disember 2021.
Semakan PRIHATIN Kasih
Tempoh sah bantuan PRIHATIN Kasih adalah sehingga akhir tahun 2021, yang lebih tepatnya pada 31 Disember 2021. Oleh itu, sebarang baki yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh berkenaan akan luput secara automatik dari akaun pemohon.
Di samping itu, semakan kelayakan dan kelulusan pula boleh dibuat secara atas talian – DI SINI.
Maklumat lanjut, lengkap dan terperinci berkenaan bantuan ini boleh dibaca dan diteliti – DI SINI.