Pelbagai jenis bantuan telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan bagi meringankan beban mereka yang terjejas dan memerlukan.Antaranya termasuklah Bantuan Kanak-Kanak (BKK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dengan bantuan ini, mereka yang layak boleh menerima bantuan kewangan sebanyak minima RM150 sebulan seorang sehingga maksimum RM1,000 sebulan mengikut pecahan berikut:
- RM200 seorang bagi anak berumur 6 tahun dan ke bawah;
- RM150 seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun; dan
- Kadar bantuan maksimum RM1,000/keluarga sebulan
Tujuan BKK
BKK diperkenalkan bagi:
- Membantu keluarga / penjaga kepada anak / kanak-kanak atau membantu anak / kanak-kanak yang tiada /kehilangan penjaga supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mengikut peringkatnya.
- Membantu memelihara dan memperkukuhkan institusi keluarga yang terlibat dalam memberi jagaan sempurna kepada kanak-kanak termasuk kasih sayang dan perhatian.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Keluarga / penjaga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
- Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dan yang berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga tamat menengah atas; ATAU
- Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (KPKM).
Cara Memohon
Bagi yang ingin membuat permohonan, ia boleh dibuat dengan pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian tempat pemohon tinggal. Pemohon juga boleh mengisi borang permohonan terlebih dahulu, muat turun DI SINI.
Bagi memudahkan lagi urusan permohonan, pemohon digalakkan untuk membawa dokumen-dokumen sokongan ketika hadir ke pejabat JKM, iaitu:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon
- Salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama
- Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama
- Salinan penyata gaji (jika ada)
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Maklumat terperinci berkenaan bantuan ini boleh dirujuk – DI SINI.