Dalam usaha membantu masyarakat memiliki rumah, pihak kerajaan telah memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) seperti mana kali pertama diumumkan dalam Belanjawan 2011.
Pada asasnya, skim ini adalah untuk membantu pembeli-pembeli rumah pertama yang berpendapatan kasar bulanan isi rumah sehingga RM10,000 (tertakluk kepada RM5,000 setiap pemohon) untuk memiliki rumah pertama mereka. Berikut adalah penjelasan lanjut mengenainya:
Manfaat Skim Rumah Pertamaku
- Membolehkan pembeli rumah pertama untuk mendapat pembiayaan sehingga 110% daripada bank-bank yang terlibat;
- Membolehkan pemilikan rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan;
- Cagamas SRP Berhad (“CSRP”) akan menjamin sehingga 20% pertama atas dasar ‘kerugian pertama’.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia;
- Pembeli rumah pertama;
- Pekerja bergaji atau individu yang bekerja sendiri;
- Pemohon individu atau bersama;
- Pendapatan kasar isi rumah sehingga RM5,000 untuk pemohon tunggal/RM10,000 untuk pemohon bersama;
- Tiada rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan lepas;
- Pembiayaan sehingga 110% (Pembiayaan >100% hingga 110% hanya untuk pemohon yang mendapat isi rumah ≤RM5,000 + membeli harta tanah ≤RM300,000)
Harta Yang Layak
- Harta kediaman di pasaran utama dan sekunder yang terletak dalam Malaysia;
- Nilai maksimum hartanah RM500,000;
- Dihuni oleh pemilik (pembeli mestilah menghuni kediaman berkenaan).
Cara Memohon
Kepada yang berminat dan menepati syarat-syarat kelayakan, permohonan SRP boleh dibuat dengan tatacara berikut:
- Cari rumah idaman anda dan dapatkan dokumen yang berkaitan seperti draf perjanjian jual beli/resit bayaran tempahan dan lain-lain;
- Semak kelayakan pemohon untuk pembiayaan rumah di bawah SRP;
- Sediakan dokumen sokongan pendapatan pemohon seperti slip gaji, penyata pendapatan, penyata bank, penyata KSWP dan lain-lain;
- Hantar permohonan pembiayaan perumahan SRP anda ke cawangan bank-bank yang mengambil bahagian (senarai bank – DI SINI).
Untuk maklumat terperinci dan lengkap berkenaan SRP, boleh dirujuk – DI SINI.