Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) adalah sebuah bantuan kewangan kerajaan yang diperkenalkan di bawah Bajet 2022 bertujuan untuk meringankan kos sara hidup dan beban rakyat berpendapatan rendah.
Bantuan ini diberikan kepada pelbagai golongan merangkumi kategori Isi Rumah, Warga Emas Bujang / Tiada Pasangan dan Bujang mengikut had pendapatan yang ditetapkan. Berikut adalah penjelasan lanjut mengenainya:
Tarikh Pembayaran BKM Fasa 1
Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pembayaran BKM Fasa 1 akan bermula pada 28 Mac sehingga 8 April 2022 dengan dikreditkan terus ke akaun penerima secara berperingkat.
Manakala, kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank – penebusan BKM Fasa 1 boleh dibuat melalui cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut prosedur yang ditetapkan.
Berkenaan dengan jumlah pembayaran BKM Fasa 1, Ismail berkata pembayaran itu akan melibat jumlah wang sebanyak RM100 sehingga RM300 mengikut kelayakan masing-masing.
Pembayaran ini juga membabitkan 8.6 juta penerima, merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas, sama ada bujang atau tiada pasangan dan 3.4 juta individu bujang.
Semak Status Permohonan
Kepada yang telah mengemukakan permohonan BKM, semakan status kelulusan boleh mula dibuat pada 28 Mac ini melalui portal rasmi BKM – DI SINI.
Berkenaan dengan kaedah semakan kelulusan permohonan, ia boleh dibuat dengan tatacara berikut:
- Layari portal rasmi BKM
- Klik ‘Log Masuk BKM’
- Masukkan ‘ID Pengguna’
- Buat pegesahan kata kunci keselamatan
- Masukkan ‘Kata Laluan’
- Klik ‘Log Masuk’
- Klik butang ‘Semakan Status’
Kepada mereka yang berstatus tidak diluluskan, rayuan BKM akan dibuka mulai 2 Mei 2022 selama sebulan.
Untuk maklumat lebih terperinci berkenaan BKM, sila rujuk di portal rasminya – DI SINI.