Wang Tidak Dituntut (WTD) secara asasnya adalah wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada pemilik yang sepatutnya dalam tempoh masa tertentu seperti mana yang telah ditetapkan oleh Akta WTD 1965.
Antara contoh-contoh WTD ialah:
- Gaji, upahan, bonus, komisyen dan wang lain yang kena dibayar kepada
pekerja atau kakitangan; - Dividen;
- Keuntungan daripada perkongsian yang diisytihar untuk dibahagikan;
- Kuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran;
- Draf bank, cashier’s order dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput;
- Simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang;
- Cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai;
- Pemiutang pelbagai;
- Penghutang pelbagai yang berbaki kredit.
Akan tetapi, tidak semua wang ini sampai kepada pemiliknya dan kerana itu ia kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) yang bertindak sebagai pemegang amanah.
Oleh itu, bagi memudahkan urusan orang ramai berkenaan WTD ini, JANM telah memperkenalkan perkhidmatan atas talian (online) bagi tujuan semakan dan tuntutan WTD. Berikut adalah penjelasannya: –
Cara membuat semakan WTD
Semakan WTD boleh dibuat oleh individu dan syarikat secara dalam talian melalui nombor pengenalan diri dan nombor pendaftaran syarikat.
Berikut adalah tatacara membuat semakan:
- Langkah 1 : Layari portal eGUMIS – DI SINI.
- Langkah 2 : Membuat pendaftaran pengguna secara atas talian.
- Langkah 3 : Log masuk portal menggunakan kata laluan yang didaftar.
- Langkah 4 : Kemaskini maklumat pengguna.
- Langkah 5 : Klik pada “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk membuat Semakan WTD melalui nombor pengenalan diri atau nombor pendaftaran syarikat dan cetak maklumat Wang Tak Dituntut tersebut (jika ada)
- Langkah 6 : Klik “Cetak”, jika perlu.
Cara Membuat Tuntutan WTD
Setelah membuat semakan dan mendapati adanya WTD, tuntutan boleh dibuat dengan mengikuti tatacara berikut:
- Langkah 1 : Layari portal eGUMIS – DI SINI.
- Langkah 2 : Klik pada ruangan “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk membuat semakan WTD melalui nombor pengenalan diri. Klik Cetak maklumat Wang Tak Dituntut tersebut (jika perlu)
- Langkah 3 : Klik pada rekod WTD yang ingin dituntut pilih “Teruskan Dengan Permohonan”
- Langkah 4 : Klik pada “Tambah Penerima” untuk masukkan perihal penerima WTD. Pilih pada kotak yang disediakan sekiranya. Maklumat Diri adalah sama seperti Maklumat Pemohon, masukkan maklumat perbankan dan kemudian “Simpan”.
- Langkah 5 : Muat naik dokumen sokongan bagi kategori “MANDATORI”
- Langkah 6 : Tandakan pada dua kotak untuk bersetuju dengan pengakuan serta terma dan syarat eGUMIS dan Klik Hantar. Pilih Ya untuk menghantar permohonan tuntutan
Dimaklumkan bahawa terdapat dua peringkat pengesahan dokumen sokongan bagi tujuan permohonan bayaran balik WTD yang dikemukakan oleh pemohon.
Semakan Status
Bagi yang telah membuat tuntutan WTD, semakan status permohonan boleh dibuat dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Langkah 1 : Log in pada Portal eGUMIS
- Langkah 2 : Klik pada Tab Ringkasan/SENARAI PERMOHONAN
- Langkah 3 : Rujuk pada ruangan STATUS
- Terdapat 4 status permohonan tuntutan WTD secara dalam talian iaitu:
- DERAF: Permohonan belum dihantar oleh pengguna eGUMIS.
- BAHARU: Permohonan telah dihantar oleh pengguna eGUMIS dengan KLIK button hantar.
- SELESAI: Permohonan telah dibuat pembayaran.
- KUIRI: Permohonan telah ditolak.
Dimaklumkan juga bahawa tiada had minima amaun yang boleh dituntut dan tiada sebarang caj yang akan dikenakan untuk permohonan tuntutan WTD.
Untuk maklumat lanjut dan lengkap berkenaan tuntutan WTD, ia boleh dirujuk – DI SINI.