Dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada beberapa bulan lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberitahu bahawa pihak kerajaan akan meneruskan projek-projek perumahan kepada golongan berpendapatan rendah seperti pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR).
RMR pada asasnya adalah sebuah bantuan pembinaan rumah oleh kerajaan kepada golongan yang memerlukan di atas tanah mereka sendiri bagi memberikan kehidupan yang lebih selesa. Berikut adalah penjelasan lanjut tentangnya:-
Kaedah Pelaksanaan
Konsep pembinaan RMR adalah sebuah rumah satu tingkat dengan dilengkapkan bersama tiga buah bilik tidur dan dua bilik air. Keluasan rumah pula mengikut kebesaran tanah dengan ketetapan sebanyak 1,000 kps, 850 kps atau 750 kps.
Harga bagi setiap unit rumah pula ditetapkan dari RM75,000 sehingga RM85,000 dengan disertakan bersama subsidi pembinaan sebanyak RM20,000. Kaedah pembiayaan dan kutipan pula akan diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Syarat-syarat Permohonan
- Warganegara Malaysia.
- Pemohon mestilah berumur 18 tahun ke atas.
- Pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM3,000.
- Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri / atau memiliki rumah usang / tidak sempurna.
- Tanah/tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas daripada gadaian/bebanan/sekatan ke atasnya. Jika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah yang dicadangkan.
- Keluasan tanah tidak kurang daripada 3,600 kps (tertakluk kepada rekabentuk).
- Tertakluk kepada peruntukan kewangan.
Cara Memohon
Kepada yang menepati syarat-syarat kelayakan dan ingin memohon RMR, ia boleh dibuat secara manual dengan mendapatkan mengisi Borang Permohonan RMR yang boleh didapati di cawangan SPNB dan dimajukan kepada SPNB selepas permohonan dilengkapkan.
Selain itu, permohonan secara atas talian juga boleh dibuat dengan tatacara berikut:
- Layari laman web RMR Online (DI SINI).
- Klik pendaftaran baru – isi borang pendaftaran login dengan lengkap.
- Penerimaan login id dan kata laluan – kata laluan akan dihantar kepada pemohon.
- Log masuk ke laman utama – gunakan login id (e-mel) dan kata laluan yang diberikan untuk memulakan permohonan rmr.
- Melengkapkan borang online – isi maklumat ke dalam sistem.
- Selesai mengisi borang online – klik selesai pendaftaran borang dan cetak borang.
- Majukan borang dan dokumen kepada SPNB – memajukan borang beserta dokumen ke pejabat cawangan SPNB yang berdekatan.
- Semakan dan penilaian oleh pihak spnb – maklum balas dalam tempoh 3 bulan dan kelulusan adalah tertakluk kepada peruntukan tahunan.
Setiap pemohonan sama ada secara manual atau secara atas talian juga diwajibkan untuk dilampirkan bersama dokumen-dokumen berikut:
- Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkenaan).
- Salinan kad pengenalan tuan tanah.
- Salinan kad pengenalan pemohon kedua (jika berkaitan).
- Salinan geran hakmilik tanah terbaru dan sijil carian rasmi dari Pejabat Tanah yang terbaru
- Slip gaji terkini (3 bulan) / surat akuan sumpah pendapatan / surat pengesahan pendapatan pemohon / pemohon kedua*.
- Surat akuan sumpah / surat pengesahan tidak memiliki rumah atau memiliki rumah yang usang*.
- Surat akuan kebenaran pelepasan tuan tanah.
- Salinan sijil nikah pemohon.
- Borang laporan tapak bergambar.
Bagi maklumat terperinci dan lengkap berkenaan RMR, ia boleh dirujuk di portal rasmi SPNB – DI SINI.