Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri. Bantuan-bantuan ini diberikan dengan objektif untuk meringankan beban mereka yang memerlukan, khususnya dari kalangan B40 dan M40.
Salah satunya adalah dengan memperkenalkan Bantuan Bil Air Percuma yang permohonannya masih dibuka. Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan bantuan ini:-
Bantuan Bil Air Percuma
Bantuan yang dimaksudkan ini adalah Skim Air Darul Ehsan (SADE) dan ia diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Ia juga merupakan program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Negeri Selangor.
Berikut adalah syarat-syarat kelayakan SADE:
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Negeri Selangor;
- Pendapatan bulanan isi rumah RM5,000 dan ke bawah (suami dan isteri termasuk pendapatan pasangan bukan warganegara, tiada pasangan atau bujang);
- Premis kediaman meter individu;
- Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun/premis sahaja.
Dimaklumkan bahawa, penyewa juga layak memohon jika memenuhi terma dan syarat permohonan serta semakan kelayakan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Cara Memohon
Untuk mereka yang menepati syarat-syarat kelayakan, permohonan SADE boleh dibuat secara atas talian melalui Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR). Permohonan juga boleh dibuat secara manual dengan mengisi Borang Permohonan SADE dan dihantar ke alamat e-mel: [email protected] atau melalui Kaunter Perkhidmatan di 10 pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Kepada yang masih belum mengemukakannya, permohonan SADE dibuka sepanjang tahun sehingga tahun 2024. Kepada yang telah membuat permohonan dan diluluskan permohonannya, mereka layak menikmati faedah skim bantuan ini sehingga 31 Disember 2024 secara automatik.
Hal ini kerana, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh SADE untuk 3 tahun bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2024.
Bagi penghuni pangsapuri kos rendah yang mendapat bekalan air melalui meter pukal, akan terus menikmati 20𝑚3 bekalan air percuma secara automatik sehingga 31 Disember 2024 mengikut kaedah pemberian rebat air percuma sedia ada yang melibatkan JMB/MC serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).
Kepada mereka yang ingin membuat permohonan penamatan atau pembatalan SADE pula, ia boleh dilaksanakan oleh beberapa alasan berikut: berpindah ke rumah baru/premis lain; pertukaran Pemilikan Akaun Air; perintah Mahkamah untuk mengosongkan premis; penerima SADE meninggal dunia; penamatan Akaun Bekalan Air atau sebab-sebab lain seperti yang tercatat dalam Borang Permohonan Penamatan/Pembatalan SADE.
Borang Permohonan Penamatan/Pembatalan SADE boleh dimuat turun melalui laman sesawang Air Selangor dan hendaklah dihantar bersama lampiran (jika berkenaan) ke alamat e-mel: [email protected] atau melalui mana-mana 10 Kaunter Perkhidmatan Pejabat Wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
Maklumat lengkap berkenaan SADE dan borang permohonan, boleh rujuk – DI SINI. Manakala, permohonan secara atas talian (online) boleh dibuat – DI SINI.
Dalam masa sama, pihak Kerajaan Negeri Selangor juga memperkenalkan Program Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi kepada anak-anak negeri Selangor yang melanjutkan pelajaran di IPT. Kadar hadiah ini adalah sebanyak RM1,000 dan diberikan secara ‘one-off’ kepada 3,000 penerima.
Syarat-syarat kelayakan bantuan ini adalah:
- Pemohon, ibu dan bapa mestilah warganegara Malaysia;
- Pemohon, ibu dan bapa mestilah terdiri daripada rakyat DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan yang memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut:
- Pemohon lahir dan menetap di Negeri Selangor; atau Ibu atau bapa pemohon lahir dan menetap di Negeri Selangor; atau
- Pemohon bersekolah di Negeri Selangor selama 11 tahun dan ibu atau bapa telah bermastautin dan menetap di Negeri Selangor selama 11 tahun.
- Pemohon ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian sepenuh masa di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil Kemahiran tahap 4 sahaja;
- Pemohon telah mendaftar diri di IPT bagi memulakan sesi pengajian;
- Pemohon adalah pelajar TAHUN PERTAMA sahaja;
- Pemohon mestilah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM);
- Pendapatan isi rumah ibu, bapa atau penjaga pemohon berjumlah RM5,000 dan ke bawah sahaja.
Maklumat lanjut berkenaan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi boleh dirujuk – DI SINI.