Setiap 1 Mei, kita di Malaysia dan di banyak negara lain menyambut Hari Buruh sebagai tanda penghargaan kepada golongan pekerja yang menjadi tunjang utama dalam pembangunan ekonomi dan kemajuan negara. Ia bukan sekadar cuti umum yang dinantikan ramai, tetapi lebih penting lagi, ia merupakan hari yang memberi ruang untuk kita menghargai peranan penting para pekerja – tidak kira sektor, latar belakang mahupun pangkat.
Hari Buruh, atau juga dikenali sebagai Hari Pekerja, mula disambut secara rasmi di Malaysia sejak tahun 1972. Sejak itu, ia menjadi simbol solidariti pekerja dalam memperjuangkan hak dan kebajikan mereka. Lebih daripada itu, ia turut menjadi platform untuk memperingati segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para pekerja dalam membangunkan sesebuah organisasi, syarikat dan seterusnya negara secara keseluruhan.
Dalam dunia yang semakin berkembang pesat ini, peranan pekerja juga semakin kompleks. Daripada buruh binaan di tapak projek, petugas barisan hadapan seperti jururawat dan anggota keselamatan, hinggalah ke pekerja sektor teknologi, pendidikan dan perkhidmatan — semuanya memainkan peranan yang saling melengkapi.
Kecekalan dan semangat mereka bekerja walau dalam keadaan mencabar, telah membuktikan betapa pentingnya kekuatan tenaga kerja dalam memastikan kelangsungan hidup dan kestabilan negara.
Namun, sambutan Hari Buruh juga mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga kebajikan pekerja. Isu seperti gaji yang tidak setimpal, jam kerja yang berlebihan, keselamatan di tempat kerja, dan hak pekerja kontrak atau sambilan masih lagi menjadi antara cabaran utama. Maka, inilah masanya untuk kita bersama-sama menilai kembali dasar-dasar pekerjaan, memperkasakan hak pekerja, dan memupuk budaya kerja yang sihat dan seimbang.
Hari Buruh bukan sekadar hari untuk berehat — ia adalah hari untuk kita merenung, menghargai dan merancang masa depan yang lebih adil dan sejahtera buat semua golongan pekerja. Tanpa mereka, tidak mungkin roda ekonomi dapat terus berputar. Oleh itu, bagi menghargai golongan pekerja, pihak Kerajaan telah memperkenalkan Kad Pekerja MADANI dan berikut adalah maklumat lanjutnya.
Kad Pekerja MADANI
Ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pengenalan Kad Pekerja MADANI. Ia juga adalah medium penyampaian faedah bersasar melalui pendekatan kerjasama strategik antarakerajaan dan sektor swasta.
“Inisiatif ini bukan sahaja tanda penghargaan kepada tenaga kerja negara, tetapi juga sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membina ekonomi yang lebih inklusif dan sejahtera untuk semua,” katanya.
Objektif utama Kad Pekerja MADANI adalah:
- Meringankan kos sara hidup para pekerja, khususnya ahli kesatuan sekerja, menerusi pemberian diskaun dan faedah khas;
- Meningkatkan daya tarikan keahlian kesatuan sekerja melalui penawaran insentif dan kemudahan yang relevan kepada golongan pekerja;
- Menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam agenda kebajikan pekerja nasional menerusi pendekatan menang-menang;
- Mengukuhkan jaringan keselamatan sosial pekerja melalui sokongan langsung terhadap akses kehidupan harian secara lebih sistematik dan mampan.
Untuk makluman, seramai satu juta ahli kesatuan pekerja akan menerima Kad Pekerja MADANI dan seterusnya menerima akses diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan.
Antara syarikat yang mengambil bahagian adalah AEON, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, OldTown White Coffee, ZUS Coffee, SOCAR dan Bateriku.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Syarat-Syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia;
- Berumur 18 tahun dan ke atas;
- Ahli mana-mana kesatuan yang aktif;
- Pemohonnan yang disahkan status keahlian sahaja yang akan disenaraikan sebagai pemegang kad sah.
Cara Mendaftar Kad Pekerja MADANI
Bagi urusan mendaftar kad ini, ia boleh dibuat melalui aplikasi Kad Pekerja Madani dengan mengisi maklumat-maklumat yang diminta dan log masuk.
Seterusnya, permohonan boleh dibuat dengan memilih Permohonan Baru, mengisi maklumat yang diperlukan seperti maklumat peribadi, maklumat kesatuan dan maklumat majikan dan hantar. Permohonan itu kemudiannya akan disemak oleh wakil kesatuan.
Untuk makluman, Kad Perkerja MADANI datang dalam bentuk digital dengan Kod QR unik dan tidak melibatkan kad secara fizikal.
Kepada yang layak dan menerima kad secara digital ini mereka boleh menggunakannya di mana-mana kedai rakan strategik terlibat dengan mengemukakan Kad Pekerja MADANI. Kod QR itu akan di imbas oleh kedai rakan strategik.