Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri. Khususnya kepada mereka dari kalangan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).
Salah satunya adalah melalui sebuah bantuan kewangan berbentuk e-Dompet yang diberikan setiap bulan. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan ini: –
E-Dompet RM300 setiap bulan
Di bawah Belanjawan 2024 Selangor, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan bantuan e-Dompet yang juga dikenali sebagai Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau BINGKAS. Bantuan ini diberikan dengan kadar sebanyak RM300 setiap bulan secara automatik kepada 30,000 keluarga penduduk Selangor.
Ia bertujuan untuk menyemarakkan kecekalan keluarga supaya kurang terdedah kepada cabaran ekonomi dan meringankan beban kewangan rakyat serta membantu ketua-ketua keluarga untuk membeli barangan keperluan asas termasuk peralatan pendidikan bagi pelajar agar kualiti hidup warga Negeri Selangor dapat terus makmur.
“Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau BINGKAS bagi mengiktiraf peranan penting ketua keluarga yang tidak mengenal penat lelah untuk mengurus hal ehwal keluarga, mendidik dan membesarkan anak-anak sewaktu mengharungi pasca pandemik.
Program ini meluaskan capaian dan menambahbaik Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) supaya manfaatnya dapat dirasai bukan sahaja golongan ibu tetapi juga anggota keseluruhan keluarga dengan menyasarkan sebanyak 30,000 buah keluarga dengan bantuan RM 300 bagi setiap bulan bagi pembelian barangan keperluan asas serta peralatan pendidikan,” petikan ucapan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia;
- Lahir di negeri Selangor atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun;
- Pemilih berdaftar di negeri Selangor;
- Keluarga yang mempunyai tanggungan berusia 18 tahun ke bawah;
- Pendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan.
Cara Memohon
Bagi yang menepati syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan, permohonan bantuan e-Dompet ini boleh dilaksanakan secara atas talian (online) di Portal Rasmi BINGKAS. Mereka yang diluluskan permohonannya boleh menggunakan bantuan ini untuk membuat pembelian barangan keperluan di kedai-kedai di bawah program BINGKAS.
Antara barangan yang boleh dibeli adalah beras, roti, biskut, telur, gula, garam, rempah ratus, tepung, minyak masak, ubat-ubatan, sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, daging dan banyak lagi (senarai penuh lihat DI SINI). Cara menggukannya pula adalah seperti berikut:
- Kunjungi kedai-kedai berdaftar di bawah senarai BINGKAS;
- Pilih barangan yang ingin dibeli;
- Juruwang akan mengimbas ID penerima di aplikasi SELANGKAH untuk pengesahan;
- Juruwang buat saringan mengikut barang-barang yang tersenarai di bawah BINGKAS;
- Penerima klik pada Kad BINGKAS di aplikasi;
- Penerima klik ‘PAY’ dan pilih akaun BINGKAS;
- Penerima masukkan pin 6 digit bagi pengesahan pengaktifan Kod QR;
- Juruwang imbas Kod QR bagi pembayaran.
Untuk makluman, permohonan BINGKAS ketika ini telah ditutup dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Maklumat lebih lengkap, cara menggunakan dan cara memohon, boleh dirujuk Portal Rasmi BINGKAS – DI SINI.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Dalam pada itu, di peringkat Persekutuan, Kerajaan juga ada memperkenalkan bantuan e-Dompet yang dikenali sebagai eMADANI. Bantuan e-Dompet ini diberikan dengan kadar RM100 secara ‘one-off’ kepada warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun ke atas pada tahun 2023 serta mempunyai pendapatan berjumlah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Permohonan eMADANI hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak, 4 Disember 2023 hingga, 20 Februari 2024. Setelah kredit berjaya dipohon, ia perlu dibelanjakan selewat-lewatnya pada 11.59 malam, 29 Februari 2024. Selepas tarikh akhir ini, baki eMADANI yang tidak digunakan akan luput secara automatik daripada e-dompet pemohon.