Belum tamat persoalan tentang pengangguran yang semakin bertambah di negara ini, dapatan dari Jabatan Perangkaan sekali lagi mengejutkan rakyat Malaysia apabila didapati graduan yang memasuki pasaran pekerjaan pada tahun lalu memperoleh gaji permulaan lebih rendah berbanding mereka yang memasuki pasaran pekerjaan pada tahun-tahun sebelumnya.
Lebih menyedihkan, gaji permulaan berkenaan dilihat sebagai terlalu rendah bagi taraf seorang graduan iaitu hanya sekitar RM1,001 hingga RM1,500 sahaja, berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada tahun 2019.
Menjelaskan tentang perkara berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia disebabkan oleh keadaan ekonomi semasa, serta kemelesetan ekonomi yang menyebabkan permintaan buruh dan tenaga kerja di negara ini berkurangan.
Malah, Mustapa juga mengakui tentang masalah gaji di negara ini yang telah hampir 19 tahun gaji permulaan graduan tidak meningkat.
“Permintaan (buruh) rendah, sudah pasti graduan sanggup menerima gaji lebih rendah dari biasa… tetapi apabila ekonomi pulih, permintaan buruh dan tenaga kerja bertambah.
“Kita (kerajaan) sememangnya nak rakyat dapat upah gaji lebih tinggi dan salah satu masalahnya ialah gaji permulaan graduan tak meningkat dah 19 tahun.” – Katanya, petikan dari laporan KOSMO.
Selain itu, Mustapa turut menasihati para graduan supaya bersyukur kerana mempunyai kerja, berbanding masih ada graduan di luar sana yang tidak mempunyai pekerjaan.
“Jadi bagi saya, para graduan yang ada kerja harus bersyukur kerana graduan lain tak ada kerja… atau gaji rendah itu sabarlah… tahun ini ekonomi makin pulih, mungkin bertambah permintaan (pasaran buruh) gaji akan naik.” – Katanya, petikan dari Astro Awani.
Dalam masa sama, ketika mengulas dapatan Jabatan Perangkaan itu – Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain J.P berkata, kebanyakan majikan kini mengalami kekangan aliran wang tunai, selain terdapat lebih 32,000 syarikat telah ditutup tahun lalu akibat hambatan pandemik Covid-19.
Keadaan itu juga disumbang dengan tindakan sesetengah majikan yang masih lagi mengecilkan operasi dan melaksanakan tugasan pelbagai kemahiran dan pelbagai tugasan di tempat kerja, untuk terus beroperasi.
“Ramai pekerja yang alami pemotongan gaji dan pengurangan faedah, manakala banyak majikan bergantung kepada subsidi diberikan kerajaan menerusi inisiatif PRIHATIN, PENJANA dan PEMERKASA, bagi mengelakkan terus membuang pekerja akibat COVID-19.
Majikan juga melihat kepada pengambilan pekerja tempoh singkat, gaji mengikut jam dan meletakkan mereka kepada aktiviti lain, dalam usaha memastikan mereka kekal beroperasi.” – Katanya, petikan dari Astro Awani.
Beliau juga menambah, mempunyai pekerjaan walaupun dengan gaji permulaan yang lebih rendah adalah suatu yang baik buat masa ini, dan ia bukanlah perkara yang mengejutkan kerana kadar gaji ditentukan oleh pasaran.
“Kami percaya, keadaan akan kembali normal tidak lama lagi. Para graduan tidak perlu risau mengenai gaji permulaan yang rendah pada masa ini, kerana sektor swasta amat menghargai prestasi dan sebaik pekerja mula memberikan sumbangan dan menunjukkan prestasi, mereka akan diberikan ganjaran setimpal.
“Pengalaman kerja juga akan membuatkan graduan lebih mudah dipasarkan dan lebih mudah mendapatkan pekerjaan.” katanya, petikan dari Astro Awani.
Sumber: KOSMO & Astro Awani.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021