Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini mengumumkan bahawa akan menawarkan kerakyatan kepada bakat-bakat asing yang menetap di negara itu. Langkah itu dilihat merupakan usaha mengubah arah negara Teluk berkenaan yang ekonominya begitu bergantung kepada ekspatriat.
Terkenal dengan pasportnya yang dikenali sebagai salah satu pasport terbaik dunia, UAE kini menawarkan kerakyatan kepada bakat profesional asing termasuklah para pelabur, doktor pakar, jurutera, intelektual, saintis, seniman serta juga keluarga mereka.
“Langkah ini bertujuan untuk menghargai bakat dan kecekapan yang ada di UAE dan menarik minda yang lebih cerah kepada masyarakat Emiriah dengan cara menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara.” – Petikan kenyataan kerajaan UAE.
Bagaimanapun, penawaran kerakyatan itu akan melalui proses tertentu di mana mereka perlu dicalonkan dulu oleh kerabat diraja atau pegawai UAE, dan Kabinet yang akan membuat keputusan akhir.
Dalam masa sama, ada pemerhati yang melihat usaha terbaru UAE itu sebagai untuk mempertahankan bakat-bakat yang ada, selepas kehadiran pandemik Covid-19 yang memaksa ribuan ekspatriat keluar dari negara berkenaan. Ini kerana, hampir sekitar 8 juta penduduk UAE adalah warganegara asing.
Menurut rekod imigresen UAE pada 2016, sekitar 7,200 orang rakyat Malaysia berada di UAE, dengan sejumlah 3,500 orang tinggal di Dubai dan Abu Dhabi. Kebanyakan daripada mereka terlibat dalam bidang kejuruteraan, pendidikan dan perbankan.
Sebelum ini, penduduk asing di UAE selalunya akan memperbaharui visa mereka setiap tiga tahun, dan mereka tidak dibenarkan untuk melabur dalam sektor tertentu seperti hartanah.
“Model ekspatriat suatu masa dulu ‘mari kita buat seberapa banyak yang kita dapat dari negara ini dan kemudian pulang. (Tapi) pola pemikiran baru yang ingin dibawa oleh pemerintah adalah ‘jika anda memberikan sebanyak mungkin kepada negara ini, anda akan dapat menyebutnya sebagai negara anda’. – Karim Jetha, Ketua Pegawai Pelaburan Longdean Capital. Petikan dari CNBC.
Selain itu, sejak beberapa bulan kebelakangan ini UAE turut melakukan reformasi dasar susulan tindakannya menjadi negara Teluk pertama menormalkan hubungan dengan Israel. Perkara itu termasuklah dalam soal kebenaran membeli alkohol tanpa lesen dan membenarkan pemilikan perniagaan asing secara 100 peratus.
Pada akhir tahun 2020, UAE turut memperluaskan program Visa ‘golden’ di mana memberikan hak penduduk tetap selama 10 tahun kepada profesional dan pemegang ijazah tertentu. Malah, visa persaraan selama lima tahun juga diperkenalkan kepada mereka yang melebihi tahap pendapatan tertentu.
Akan tetapi, masih ada pihak yang melihat dasar terbaru UAE ini tidak begitu jelas disebabkan perincian khususnya yang belum dikeluarkan. Apa yang pasti tindakan UAE ini sudah pasti akan memperlihatkan kesan yang besar kepada masa depan negara kaya minyak itu.
“Pengumuman itu memecahkan halangan mengenai isu yang sebelumnya taboo dan dalam jangka panjang akan memacu pelaburan yang lebih besar di UAE.” – Taufiq Rahim, Felo New America.
Sumber: CNBC.
__________
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021