Seperti mana yang kita maklum, bila tibanya tarikh 1 Mei – setiap dari pekerja akan bercuti bersempena dengan Hari Pekerja yang akan disambut setiap tahun. Jika seseorang itu terpaksa juga bekerja pada tarikh berkenaan, dia layak menerima tambahan sehari gaji dari kadar yang biasa yang dia terima.
Tapi, tahukah kita tentang kisah di sebalik Hari Pekerja atau Hari Buruh ini? Sebenarnya, hari penuh bermakna ini bermula selepas berlakunya gerakan yang…
Menuntut pengurangan jam bekerja
Ketika di zaman Revolusi Industri, antara masalah utama yang dihadapi kaum pekerja adalah tidak adanya waktu bekerja tetap seperti mana yang ada pada hari ini. Ini bermakna, kaum pekerja ketika itu perlu bekerja dalam jangka masa lama iaitu sehingga 14 ke 16 jam sehari.
Makanya, muncullah tuntutan supaya jam kerja itu dikurangkan kepada 8 jam sehari atau 40 jam seminggu. Walaupun pada awalnya hal itu tidak mendapat perhatian dari kaum pemodal, tapi akhirnya telah berlaku beberapa siri mogok yang antaranya membuatkan Australia menjadi negara terawal berjaya mendapatkan kerja 8 jam sehari.
Ia terjadi selepas berlakunya mogok besar-besaran oleh para tukang batu dan pekerja pembinaan di Melbourne pada 1856. Menjelang beberapa tahun selepas itu, organisasi buruh pertama di Amerika Syarikat (AS) Kesatuan Buruh Kebangsaan (National Labor Union) telah meluluskan sebuah usul di dalam kongres pertamanya pada 1866 iaitu menetapkan hari kerja normal seharusnya 8 jam di semua negeri dalam Kesatuan Amerika.
Walaupun Kongres Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang kerja 8 jam sehari untuk kakitangan-kakitangan kerajaan persekutuan pada tahun 1868, tetapi banyak jabatan kerajaan mengurangkan juga gaji apabila mengurangkan jam kerja, dan juga tidak mematuhi arahan Presiden yang tidak membenarkan pengurangan gaji. Ini menyebabkan matlamat mengurangkan masa kerja sebenar tidak dapat tercapai. – Petikan dari Sosialis.net
Ratusan ribu pekerja mogok pada 1 Mei 1886
Menjelang tahun 1884, persidangan Persekutuan Kesatuan Sekerja dan Buruh Tersusun AS dan Kanada (Federation of Organized Trades and Labor Unions) telah diadakan di Chicago, dan meluluskan resolusi yang menetapkan 1 Mei 1886 sebagai tarikh pelaksanaan standard kerja 8 jam sehari.
Ia seterusnya membuatkan ratusan ribu pekerja di seluruh AS mengadakan mogok dan demonstrasi jalanan dengan seruan
“Kerja 8 jam sehari tanpa potongan gaji, 8 jam kerja, 8 jam rehat, 8 jam untuk diri sendiri”
Bagaimanapun, pihak polis di Chicago telah menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan sehingga membuatkan dua orang ditembak mati. Tindakan ini seterusnya menimbulkan gelombang lebih besar dengan berlakunya Peristiwa Haymarket, Chicago yang menyebabkan ramai terkorban termasuk anggota polis.
Peristiwa Haymarket ini kemudianya menimbulkan beberapa demonstrasi serentak di peringkat antarabangsa pada tarikh 1 Mei bagi memperingati perjuangan menuntut kerja 8 jam sehari oleh pekerja-pekerja Chicago. Tarikh itu sekaligus menjadi tarikh keramat apabila mogok dan demonstrasi telah dianjurkan setiap tahun untuk menyambut hari yang amat bermakna ini.
Akhirnya perjuangan membuahkan hasil
Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan, menjelang tahun 1919 – Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) akhirnya terbentuk dan meluluskan Konvensyen 8 jam kerja sehari atau 48 jam seminggu. Walaupun begitu, ketika zaman Perang Dingin – negara-negara di bawah penjajahan Barat, termasuk Tanah Melayu masih lagi mengharamkan sebarang aktiviti sambutan pada tarikh 1 Mei.
Ia membuatkan Persekutuan Kesatuan Sekerja Pan-Malaya (PMFTU) menuntut pihak British mengiktiraf Hari Pekerja di negara ini, dengan menyaksikan 50,000 orang pekerja berdemonstrasi di Singapura pada 1 Mei 1947 bagi menyokong tuntutan PMFTU itu.
Bagaimanapun, tuntutan itu tidak diendahkan, apatah lagi bila pemerintah British mengisytiharkan darurat pada tahun 1948. Selepas kemerdekaan, sambutan Hari Pekerja dianjurkan oleh ramai pemimpin gerakan buruh dan aktivis berhaluan kiri.
Pada tahun 1960, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Am dan Kilang (NUFGW) yang juga Ahli Parlimen Barisan Sosialis kawasan Bangsar – V. David telah mengemukakan usul di Dewan Rakyat supaya 1 Mei setiap tahun dijadikan hari kelepasan am. Tetapi usulnya itu telah ditolak oleh kerajaan.
Parti Buruh Malaya kemudiannya mengemukakan pada tahun 1962 bahawa Hari Pekerja 1 Mei setiap tahun dijadikan hari cuti bergaji untuk semua pekerja di bawah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh Parti Buruh.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaya (MTUC) pula menganjurkan himpunan Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun dari tahun 1963 hingga 1972 untuk menuntut pada kerajaan supaya mengiktiraf 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan hari kelepasan am di seluruh Malaysia. – Petikan dari Sosialis.net
Akhirnya, pada 20 Mei 1972 – Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Ismail mengumumkan tarikh 1 Mei sebagai Hari Pekerja dengan pelepasan am.
Namun begitu, buklanlah mudah ia diterima di kalangan pihak swasta – malah mengambil masa 7 tahun untuk ia berkuatkuasa selepas pihak Kerajaan meminda Akta Kerja 1955 untuk menjadikan Hari Pekerja sebagai hari kelepasan am wajib di seluruh negara.
Itulah secara ringkas sejarah Hari Pekerja yang membuatkan kita bercuti pada 1 Mei setiap tahun. Kita pada hari ini sebenarnya terhutang budi dengan perjuangan kaum pekerja suatu masa lalu. Cuti dan jam kerja yang kita nikmati kini bukanlah datang bergolek, sebaliknya adalah hasil daripada perjuangan dan keberanian kaum buruh.
SELAMAT HARI PEKERJA UNTUK SELURUH KAUM PEKERJA!
Sumber: Sosialis.net & SocialistWorker.org
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021