Jangan silap langkah. Ini 5 prosedur pekerja wajib tahu sebelum lancarkan mogok

Seperti mana yang termaktub dalam undang-undang, setiap pekerja mempunyai hak dan hak mereka itu wajib dihormati oleh majikan. Ia termasuklah dalam mendapat gaji pada waktunya, bekerja dalam tempoh masa ditetapkan, cuti mengikut tetapan akta dan sebagainya. Jika majikan gagal memberikan komitmen seperti mana yang tercatat dalam kontrak, maka pekerja berhak menuntut supaya majikan kembali patuh kepada persetujuan yang telah dibuat.

Cumanya, ia tidaklah semudah yang disangka, dan kadang-kadang tu sehingga memaksa pekerja untuk melancarkan mogok. Tapi, sebelum sesuatu mogok itu dilancarkan – ia mesti mengikuti prosedur tertentu sesuai dengan peruntukan undang-undang.

Bagi pekerja pula, mereka sememangnya wajib tahu dengan prosedur ini, supaya mogok itu tadi tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang dan berhasil seperti mana yang diharapkan. Oleh itu, berikut adalah prosedur yang perlu diikut sebelum sesuatu mogok hendak dilancarkan:

1. Pekerja perlu bentuk kesatuan sekerja terlebih dahulu

Logo salah sebuah Kesatuan Sekerja. Gambar: Kesatuan Sekerja Pembantu Perawatan Negeri Sarawak.

Disebabkan mogok itu sendiri bersifat satu tindakan yang kolektif, makanya pekerja perlulah membentuk sebuah kesatuan sekerja terlebih dahulu sebelum melancarkan mogok. Pendaftaran kesatuan sekerja itu boleh dilakukan di Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia.

Selepas kesatuan sekerja terbentuk, ahli-ahli akan berbincang sama ada mahu atau tidak melancarkan mogok seperti yang dicadangkan. Undian secara rahsia akan dibuat dan sekiranya 2/3 ahli kesatuan bersetuju terhadap cadangan mogok berkenaan, maka barulah mogok itu boleh dilancarkan. Itu pun selepas keputusan tersebut dikemukakan kepada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja dalam tempoh 7 hari selepas pengundian.

Ini kerana, pada asasnya mereka yang tidak berkesatuan tidak dibenarkan untuk melancarkan mogok. Kalau anda ditahan kerana menyertai mogok haram, anda berisiko untuk didakwa dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya.

2. Beri notis selama 42 hari sebelum mogok dilancarkan

Bantahan pekerja-pekerja sebuah kilang pada 2013. Gambar: Citizens Journal Malaysia.

Bila cadangan melancarkan mogok telah dipersetujui, kesatuan kemudiannya harus mematuhi pula syarat-syarat yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 43, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, iaitu:

  • Memberi notis kepada majikan selama 42 hari sebelum melancarkan mogok.
  • Tidak melancarkan mogok dalam tempoh 21 hari selepas memberi notis itu.
  • Tidak melancarkan mogok sebelum luputnya tarikh yang ditetapkan dalam notis itu.

 

3. Mohon cuti jika anda mewakili kesatuan sekerja

Mogok membantah upah murah. Gambar: REPUBLIKA.CO.ID

Bila anda terlibat dalam kesatuan sekerja dan anda perlu menjalankan tugas dalam kesatuan itu secara khusus, anda dikehendaki memohon cuti dari majikan terlebih dulu. Ini kerana, perkara itu ada diperuntukkan di bawah Seksyen 6, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bahawa:

  • Pekerja yang berhasarat mahu menjalankan tugasnya sebagai pegawai kesatuan sekerja perlu memohon cuti kepada majikan.
  • Menyatakan tempoh cuti dan tujuan cuti tersebut.

 

Perkara ini penting, sebab jika berlaku sebarang pertikaian di Mahkamah Perusahaan nanti – selalunya peruntukan ini yang akan dibangkitkan.

Majikan TIDAK BOLEH memecat pekerja yang menyertai mogok sah

Mogok sekumpulan pekerja kontrak kerana tidak dibayar gaji di Dungun. Gambar: Harian Metro.

Jika prosedur yang ditetapkan ini diikuti, ia sekaligus akan menjadikan mogok itu sebagai mogok sah dan dilindungi undang-undang. Jadinya, majikan tidak ada sebarang hak untuk menekan atau memecat mana-mana pekerja yang menyertai mogok, kerana perkara itu ada dinyatakan secara jelas di bawah Seksyen 10(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Namun, sekiranya majikan melanggar peruntukan ini dan bertindak memecat juga pekerjanya – majikan berkenaan boleh disaman atas dakwaan memecat secara tidak adil. Pekerja yang dipecat boleh membawa kes ini ke Mahkamah Perusahaan bagi mendapatkan keadilan.

Tapi perlu diingat yang kes itu harus difailkan dalam tempoh 60 hari selepas pemecatan. Jika mahkamah mendapati pekerja berkenaan telah dipecat secara tidak adil, pekerja berkenaan ada menerima faedah tertentu sama ada mendapat pekerjaannya kembali atau diberikan pampasan.

Kesimpulannya, walaupun kita berasa tidak berpuas hati dengan syarikat, ia bukanlah syarat untuk melancarkan mogok tanpa perancangan rapi dan tersusun. Ini kerana, setiap hal berkaitan dengan pekerjaan ini ada diperuntukkan dalam undang-undang dan kita masih terikat dengannya. Dengan mengikuti prosedur yang ditetapkan, tidaklah kita menjadi terburu-buru dan mogok berkenaan juga boleh berhasil seperti mana yang diharapkan.

 

Sumber: Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia & Asklegal.

_________

Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

STR Fasa 3 dibayar bulan depan: Maklumat senarai penuh penerima dan jumlah bayaran

STR Fasa 3 dibayar bulan depan: Maklumat senarai penuh penerima dan jumlah bayaran

Untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau…
Bantuan e-Dompet RM200 dibayar bulan ini: Senarai penuh penerima yang akan dikreditkan

Bantuan e-Dompet RM200 dibayar bulan ini: Senarai penuh penerima yang akan dikreditkan

Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan…
Tiga tahun tak dibayar OT: Ini kisah Pekerja Keselamatan yang menang tuntutan RM58,000

Tiga tahun tak dibayar OT: Ini kisah Pekerja Keselamatan yang menang tuntutan RM58,000

Penantian seorang Pekerja Keselamatan sebuah bengkel dan pusat tuntutan insurans akhirnya membuahkan hasil apabila menang kes tuntutan kerja lebih masanya…