Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri. Bantuan-bantuan ini diberikan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan dan sebagai usaha membantu kehidupan masyarakat.
Antaranya adalah melalui bantuan-bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 seperti mana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Ia termasuklah dengan meneruskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada rakyat Malaysia daripada kalangan B40 dan M40. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan ini: –
Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
Sama seperti tahun sebelumnya, pihak Kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah atau STR bagi tahun 2024 ini. Bantuan tunai ini pada asasnya merupakan usaha Kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup di kalangan rakyat sama ada yang berpendapatan rendah (B40) atau sederhana (M40).
Dalam masa sama, ia juga diberikan dengan kadar-kadar bebeza mengikut kategori (isi rumah, bujang atau warga emas) dan berdasarkan pendapatan serta tanggungan masing-masing.
Syarat-syarat kelayakan STR bagi tahun 2024 adalah seperti berikut:
- Isi Rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Bujang
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat;
- Had umur adalah 21-59 tahun;
- Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas;
- Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa;
- Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.
- Warga Emas Tiada Pasangan
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat;
- Had umur adalah 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
Selain itu, pihak Kerajaan juga ada memperkenalkan Bantuan Tambahan kepada penerima STR yang benar-benar memerlukan, melalui Sumbangan Asas Rahmah atau SARA.
Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah bantuan tambahan yang diberikan kepada penerima STR yang menepati syarat-syarat kelayakan khusus berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan;
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Bagi tahun 2024, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan terhadap SARA iaitu
- Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
- Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600;
- Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
SARA ini dilaksanakan dengan dua kaedah iaitu bagi penerima di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Ini adalah maklumat lanjut tentang kaedah pelaksanaannya:
Penerima daripada Semenanjung Malaysia
Penerima SARA akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima. Penerima SARA boleh membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
Penerima akan mendapat bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.
Bagi penerima di Semenanjung, SARA dalam MyKad boleh digunakan bagi membeli barangan keperluan asas di lebih 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Untuk maklumat lengkap berkenaan SARA ini, sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI.