Pada April 2021 lalu, seorang pemandu lori telah mendapat keadilan apabila menang kes terhadap majikan yang menyamannya berkenaan dengan tuntutan baki caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang gagal dibayar oleh majikan itu sendiri.
Kisah ini berlaku kepada K. Ramadas yang merupakan seorang pemandu lori di syarikat Teik Joo Chan Sdn Bhd (TJC) sejak tahun 2002 lagi. Namun begitu, Ramadas telah disaman oleh majikannya itu sebanyak RM26,207 kerana beliau didakwa hanya seorang pemandu kontraktor bebas dan bukannya pekerja yang diupah oleh pihak syarikat.
Pada awal tahun 2017, Gabungan Pemandu Lori telah membuat aduan kepada pihak KWSP berkenaan dengan kegagalan TJC membayar caruman KWSP yang sepatutnya untuk 95 orang pemandu lori yang diupahnya.
Setelah penyiasatan dilakukan, KWSP telah bertindak mengarahkan majikan untuk membayar jumlah baki caruman KWSP (caruman majikan dan pekerja) untuk enam tahun bagi semua pekerjanya itu.
“KWSP menyaman TJC di Mahkamah Tinggi Ipoh pada tahun 2018 untuk menuntut baki taksiran caruman KWSP dari tahun 2011 hingga 2017, sejumlah RM1,591,538 yang gagal dibayar oleh pihak syarikat kepada KWSP. – Petikan dari SOSIALIS.NET.
Pihak majikan kemudiannya membuat permohonan untuk memasukkan 95 orang pekerjanya itu sebagai defendan bersama dalam kes saman tersebut – dengan niat memaksa pekerja-pekerja juga menanggung bayaran yang dituntut oleh KWSP. Akan tetapi, ia telah ditolak dengan kos oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 Februari 2019.
Pada 25 April 2019, KWSP telah menerima penghakiman persetujuan TJC di Mahkamah untuk membayar baki taksiran caruman KWSP bagi tempoh berkenaan, berserta dividen, faedah, caj lewat bayar dan kos.
Namun, syarikat TJC cuba menggunakan pelbagai taktik untuk mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawabnya dan memaksa pekerja-pekerjanya membayar bahagian caruman KWSP pekerja yang gagal dicarumnya.” – Petikan dari SOSIALIS.NET.
Menang Kes Saman
Oleh itu, pada 21 November 2018 – TJC telah memfailkan saman terhadap Ramadas dan 17 orang pemandu lori lain di Mahkamah Sesyen Ipoh bagi menuntut jumlah taksiran caruman KWSP seperti mana yang dituntut oleh KWSP terhadap syarikat berkenaan di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Menjelang 25 April 2019 , pihak Mahkamah Sesyen Ipoh menolak writ saman dan pernyataan tuntutan daripada syarikat TJC di bawah Aturan 14 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Setelah gagal memaksa pekerja-pekerjanya membayar apa yang telah gagal dibayarnya, TJC kemudiannya menyaman salah seorang pemandu lori iaitu Ramadas di Mahkamah Majistret Kampar. Ramadas dituntut untuk membayar sebahagian caruman pekerja sebanyak RM26,207 yang gagal dibayar oleh pihak syarikat kepada KWSP.
Semasa perbicaraan, Ramadas yang diwakili oleh peguam Bawani KS berhujah bahawa tuntutan syarikat itu bersifat res judicata (perkara yang hendak dibicarakan itu telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini), dan proses mahkamah telah disalahgunakan kerana ia telah melibatkan prosiding yang berulang untuk perkara sama yang sudah pun diputuskan di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini.
“Bawani juga membidas dakwaan oleh pihak syarikat TJC bahawa Ramadas ialah seorang kontraktor bebas dan bukannya pekerja, kerana Ramadas dan pemandu-pemandu lori yang lain tidak menandatangani apa-apa kontrak perjanjian dengan pihak syarikat yang menyatakan mereka ialah kontraktor bebas.” – Petikan dari SOSIALIS.NET.
Hasilnya, Mahkamah Majistret Kampar membuat keputusan memihak kepada Ramadas dan tuntutan syarikat itu ditolak. Kes yang terjadi ini boleh dikatakan membuka mata kita semua berkenaan pentingnya menegakkan hak pekerja dan satu lagi kemenangan dalam perjuangan hak pekerja.
Sumber: SOSIALIS.NET