Bagi meringankan kos yang ditanggung oleh usahawan tempatan, pihak kerajaan akan melancarkan sebuah platform e-dagang ala GrabFood dan Food Panda yang dikenali sebagai Warungku menjelang 10 April ini.
Melalui platform berkenaan, usahawan tempatan boleh menempatkan produk makanan mereka secara atas talian, dengan caj perkhidmatan yang lebih rendah berbanding 35 peratus seperti yang diamalkan kebanyakan platform e-dagang sedia ada.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif itu tercetus bagi meringankan beban para usahawan, selain akan membuka peluang pekerjaan sebagai ‘rider’.
“Selain mewujudkan platform berkenaan, kita juga turut menyediakan ‘rider’ bagi membantu melancarkan proses penghantaran makanan di mana pihak SME Corp akan menghasilkan kira-kira 5,000 ‘rider’ di seluruh negara untuk tahun ini.” – Katanya, petikan dari BERNAMA.
Dalam masa sama, beliau berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) turut akan membantu mereka yang ingin menjadi ‘rider’ melalui program bantuan RM10,000 untuk membeli motosikal dan kelengkapannya.
Apa yang pasti, ekonomi gig telah menjadi antara segmen pekerjaan baru yang menjadi pilihan ramai selepas kesukaran akibat acaman pandemik yang dialami negara ketika ini.
Bagaimanapun, ia masih menjadi perdebatan ramai sama ada pekerjaan itu boleh dianggap sebagai sebuah pekerjaan tetap, selain tentang isu keselamatan pendapatan yang dijana dan kurangnya perlindungan sosial diberikan kepada mereka yang menceburinya.
Kerajaan pula kemudiannya melalui PENJANA telah memperuntukkan geran padanan berjumlah RM50 juta bagi pekerja sektor ini mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Namun, masih ada pihak yang mempersoalkan adakah ia mencukupi dengan jumlah pekerjanya yang semakin meningkat dari hari ke hari.
Sumber: BERNAMA & Astro Awani.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021