Rentetan dari keganasan pihak negara haram Israel terhadap penduduk Palestin, khususnya di Gaza – telah muncul usaha pihak tertentu untuk memboikot syarikat minuman terkemuka dunia, Coca Cola.
Gesaan itu terbit selepas terdapatnya dakwaan bahawa syarikat berkenaan menyokong Israel dan dituduh mengaut keuntungan daripada penempatan haram orang Israel di Palestin.
Mengulas usaha boikot itu, Coca-Cola Malaysia dalam satu kenyataan berkata gesaan terbabit dibuat berdasarkan maklumat yang salah, khabar angin dan kurang pemahaman, khususnya termasuk operasi mereka di Timur Tengah.
Syarikat itu juga memaklumkan bahawa mereka prihatin terhadap pergolakan yang berlaku, serta kesannya terhadap penduduk di rantau Timur Tengah.
“Kami tidak menyokong atau menentang mana-mana tujuan berkaitan agama mahupun memihak kepada mana-mana negara lebih daripada yang lain di peringkat antarabangsa,” katanya, petikan dari laporan Astro Awani.
Dalam masa sama, memetik laporan Malaysiakini – Coca-Cola melalui pembotolnya NBC mempunyai komitmen yang panjang terhadap pasaran Palestin dan telah memulakan pengeluaran sejak 1998 lagi.
Malah, syarikat berkenaan telah menjadi majikan ketiga terbesar di negara berkenaan. Pemilik NBC, Zahi Khouri juga merupakan anak kelahiran Palestin sebelum menjadi pelarian ke Lubnan selepas berlakunya Perang Arab – Israel 1948.
Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Jerman dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dengan terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan.
Khouri turut tampil sebagai salah seorang pengkritik kuat pendudukan Israel di wilayah Palestin, selain menjadi wakil komuniti perniagaan Palestin bagi menyuarakan keprihatinan terhadap kesan penjajahan dan sekatan Israel terhadap ekonomi negara itu. Beliau juga menjadi pendukung pergerakan anti-Israel Boycott, Divestment, Sanctions (BDS).
Sementara itu, Coca Cola Malaysia menjelaskan bahawa walaupun ia merupakan jenama global, namun semua operasi pembotolan syarikat itu di Malaysia dibuat dalam negara.
“Coca-Cola diproses dan dibotolkan di Malaysia untuk rakyat Malaysia oleh rakyat Malaysia. Di Malaysia, Coca-Cola telah beroperasi lebih 85 tahun dan menjadi keutamaan kami untuk terus komited dalam membantu rakyat Malaysia dari segi bantuan sosial dan lain-lain,” katanya, petikan dari Astro Awani.
Oleh itu, gesaan agar orang ramai memboikot produk Coca-Cola akan hanya memberi kesan terhadap pekerja tempatan syarikat itu.
Bagaimanapun, pada 2017, syarikat itu dilaporkan akan dimasukkan ke dalam senarai hitam Majlis Hak Asasi Manusia PBB, kerana dikatakan beroperasi di penempatan haram Israel. Tetapi ia kemudiannya tiada dalam senarai akhir yang diterbitkan.
Sumber: Malaysiakini, Astro Awani & BBC.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021