Majlis Belia Malaysia menggesa kerajaan segera selesai isu pekerjaan

Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja menyelesaikan pertikaian antara majikan dan kesatuan sekerja berhubung isu pekerjaan pasca COVID-19.

Pertubuhan itu dalam satu kenyataan, berkata pihaknya mengambil maklum berkenaan ketegangan antara Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Katanya, kedua-dua pihak kini dilihat saling berbalas kenyataan berkait isu pekerjaan pasca COVID-19.

“MEF menyatakan majikan berhak memberhentikan pekerja yang tidak lapor diri untuk bertugas manakala MTUC bertegas Seksyen 15c(2) Akta Pekerja 1955 tidak terpakai dalam keadaan semasa.

“Pada masa sama, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhadapan dengan isu sama yang mana pihak kementerian dan jabatan masih lagi tidak dapat menyediakan platform jadual bekerja dan waktu anjal.

“Hal ini menyukarkan pasangan yang bekerja dalam sektor awam dalam keadaan pusat asuhan kanak-kanak dan sekolah masih tutup,” menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

MBM juga menggesa kerajaan menyediakan solusi berkenaan isu berbangkit itu dalam kadar segera.

Pada masa sama, MBM melalui Jawatankuasa Khas Tindakan Ekonomi (JAKTEM) 2020 mengambil maklum melalui tinjauan yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi mengenai nasib pekerja dalam kalangan belia.

“Dapatan utama tinjauan itu sangat membimbangkan dan dikhuatiri jika tidak ditangani segera akan mewujudkan rantaian permasalahan ekonomi negara yang lebih merudum.

“Rata-rata belia yang kehilangan pekerjaan kerana status jawatan adalah kontrak dan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang mengesahkan mereka di bawah akta pekerja,” katanya.

Pihak MBM juga bimbang apabila program pengekalan pekerjaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah dihentikan kerana ketiadaan dana.

“Hal ini juga telah memberikan implikasi negatif kepada majikan yang mempunyai sejumlah pekerja yang perlu dikekalkan melalui Program Pengekalan Pekerjaan,” katanya.

Justeru, MBM melalui JAKTEM membuka kaunter aduan bagi membolehkan belia yang kehilangan pekerjaan ataupun majikan dari golongan belia dan masih belum membuat aduan kepada mana-mana pihak, boleh berbuat demikian.

“Maklum balas itu akan MBM serahkan kepada Kementerian Sumber Manusia dan agensi berkaitan untuk tindakan dalam sesi pertemuan MBM dengan Kementerian Sumber Manusia dalam masa terdekat.

SUMBER: BERITA HARIAN

ARTIKEL BERKAITAN

Bantuan BMT: Senarai Penuh Penerima Tunai RM200 Bulan Februari 2025 ini

Bantuan BMT: Senarai Penuh Penerima Tunai RM200 Bulan Februari 2025 ini

Musim tengkujuh adalah fenomena cuaca yang berlaku setiap tahun di Malaysia, biasanya antara November hingga Mac. Ketika ini, hujan lebat…
Bantuan RM100 Dikreditkan Ke MyKad Fasa 2 Bulan Ini (Februari 2025): Ini Maklumat SARA 2025

Bantuan RM100 Dikreditkan Ke MyKad Fasa 2 Bulan Ini (Februari 2025): Ini Maklumat SARA 2025

Golongan B40 merujuk kepada 40 peratus isi rumah berpendapatan terendah di Malaysia. Berdasarkan data terkini, kumpulan ini menghadapi pelbagai cabaran…
Bantuan RM800 Selesai Dibayar Bulan Ini (Februari 2025): Maklumat Penuh Penerima & Cara Bayaran

Bantuan RM800 Selesai Dibayar Bulan Ini (Februari 2025): Maklumat Penuh Penerima & Cara Bayaran

Musim tengkujuh kembali lagi, membawa hujan lebat, angin kencang, dan risiko banjir di banyak kawasan. Setiap tahun, ramai penduduk terkesan…