Dua orang pelajar Malaysia telah mencipta sejarah apabila diterima masuk ke Harvard University, untuk pengajian prasiswazah 2025.
Penerimaan Jarell Cheong Tze Wen dari Kuala Lumpur dan Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dari Kuantan itu sekaligus telah mengatasi lebih 50,000 permohonan global lain yang ingin masuk ke universiti antara paling berprestij di dunia itu.
Lebih membanggakan, mereka diterima masuk ketika mana kadar kemasukan terendah dicatatkan di Harvard dalam sejarah 385 tahun penubuhannya pada tahun ini. Lebih tepat lagi, hanya sekitar 3.43 peratus atau 1,968 sahaja dari 57,435 permohonan yang diterima masuk untuk kelas 2025.
Hamdi salah seorang yang diterima masuk ke universiti berkenaan adalah bekas pelajar di SM Sains Shah Alam dan memperoleh A Level di Kolej Tuanku Abdul Ja’far di bawah Biasiswa Kijang Bank Negara.
Bukan hanya berbakat dalam pelajaran, Hamdi juga seorang pendebat dan malah memberikan tuisyen kepada pelajar-pelajar sekolah menengah.
Menurut Nick Khaw yang juga Ketua Penyelidik Khazanah Nasional Berhad dan alumni Harvard, Hamdi pernah menghadapi kehidupan yang mencabar, termasuklah pernah bekerja untuk menolong keluarganya dan masuk ke sekolah berasrama bagi mengurangkan beban keluarga.
“…. masuk ke sekolah berasrama penuh untuk mengurangkan beban keluarganya, membawanya memerhatikan dan berfikir secara mendalam tentang keadaan dunia di sekelilingnya, merenungkan merit pemikiran tidak terbatas dan membaca tanpa henti dari Noam Chomsky hingga Za’ba.” – Kata Nick Khaw, yang menemuramah Hamdi. Petikan dari The Harvard Club of Malaysia.
Hamdi bercadang untuk mengambil jurusan Ekonomi ketika di Harvard nanti.

Manakala, Jarell pula menyempurnakan SPM serta A Levelnya masing-masing di SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan Sunway College, Petaling Jaya.
Beliau juga pernah menjadi salah seorang atlet mewakili negara di Sukan SEA (Tarian), selain terlibat dalam kejohonan Asian Pacific Mathematical Olympiad, kejohanan catur antarabangsa dan mendapat semua A dalam Cambridge International Exams.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa mereka berdua sememangnya layak ke universiti terkemuka itu, dan diharapkan kejayaan mereka ini menjadi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang. Tahniah sekali lagi diucapkan.
Sumber: The Harvard Club of Malaysia.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021