Sebilangan rakyat besar rakyat Malaysia nampaknya masih ternanti-nanti pembayaran Bantuan Khas C-19 (BKC) seperti mana yang diumumkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Memetik laporan Utusan Malaysia semalam, masih tiada khabar berita mengenai bantuan tersebut – sedangkan kurang lima hari lagi bulan Ogos berakhir sebelum memasuki September.
Perkara itu dikesan melalui tinjauan akhbar berkenaan yang mendapati ramai di kalangan masyarakat menzahirkan rasa kecewa kerana BKC masih lagi tidak dikreditkan ke akaun masing-masing, dikala mereka memerlukannya bagi memenuhi keperluan seharian.
“Rata-rata rakyat mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempercepat bayaran BKC kerana dijanjikan agihan dilakukan bulan ini.” – Laporan Utusan Malaysia.
Mengulas hal itu, Ketua Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui laman Facebook-nya berkata – beliau telah membuat ‘follow-up’ dengan Pejabat Perdana Menteri (JPM) berkenaan isu terbabit.
“Saya sendiri telah buat ‘follow-up’ dengan Pejabat Perdana Menteri sekali lagi hari ini kerana ramai yang benar-benar tertekan dan terdesak memerlukan BKC ini. Dimaklumkan sudah diangkat kepada YAB Perdana Menteri untuk tindakan segera.” – Petikan dari Facebook-nya.
Sebelum ini, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yasin telah memperkenalkan BKC sebagai bantuan kepada golongan miskin tegar, B40 dan M40.
Ia adalah seperti berikut:
- Isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 pada Disember. Individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.
- Isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember. Bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.
- Isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250 manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada Ogos.