Pemandu lori menang kes di Mahkamah, disaman majikan yang tuntut bayaran caruman KWSP

Seorang pemandu lori menang kes di Mahkamah Majistret Kampar pada 8 April lalu, selepas beliau disaman oleh majikannya sendiri berkaitan dengan tuntutan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Syarikat Teik Joo Chan Sdn Bhd (TJC) di mana K Ramadas telah bekerja sebagai pemandu lori sejak 2002 telah bertindak menyamannya sebanyak RM26,207 dengan alasan bahawa Ramadas hanyalah pemandu kontraktor bebas dan bukannya pekerja yang diupah syarikat.

Laporan mengatakan, walaupun syarikat itu menuntut bayaran caruman KWSP, sebenarnya ia sendiri telah gagal membayar caruman berkenaan sebelum itu.

Setelah berlakunya perbicaraan di Mahkamah Majistret selama tujuh hari, mahkamah mendapati tuntutan saman itu adalah tidak berasas dan menolaknya dengan kos.

Ini kerana, Mahkamah memutuskan Ramadas bukanlah seorang pemandu kontraktor bebas, sebaliknya beliau seorang pekerja seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta KWSP 1991.

Disebabkan hal berkenaan, mahkamah mendapati pihak syarikat tidak boleh menuntut sebarang baki caruman KWSP selepas tempoh 6 bulan caruman dibuat kerana ia telah ditetapkan di bawah Seksyen 48, Akta KWSP.

Sebenarnya, kes yang berlaku ini adalah rentetan daripada beberapa kes sebelumnya yang juga pernah melibatkan mahkamah. Ia bermula pada awal tahun 2017 apabila TJC didakwa gagal membayar caruman KWSP kepada 95 orang pemandu lorinya.

Setelah hal itu dilaporkan oleh Gabungan Pemandu Lori – KWSP bertindak menyiasat TJC dan menyaman syarikat itu di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2018.

Saman itu termasuklah dengan tuntutan baki taksiran caruman KWSP dari tahun 2011 hingga 2017, berjumlah RM1,591,538 yang gagal dibayar oleh pihak syarikat kepada KWSP.

Menjelang 25 April 2019, KWSP telah menerima penghakiman persetujuan TJC di Mahkamah untuk membayar baki taksiran caruman KWSP untuk tempoh berkenaan, berserta dividen, faedah, caj lewat bayar dan kos.

“Namun, syarikat TJC cuba menggunakan pelbagai taktik untuk mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawabnya dan memaksa pekerja-pekerjanya membayar bahagian caruman KWSP pekerja yang gagal dicarumnya. Tindakan sebegini adalah bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta KWSP.” – laporan SOSIALIS.net

Gambar: The Malaysian Reserve.

Ia termasuklah dengan bertindak memfailkan kes saman terhadap K. Ramadas dan 17 orang pemandu lori lain di Mahkamah Sesyen Ipoh, untuk menuntut jumlah taksiran caruman KWSP seperti mana yang dituntut oleh KWSP terhadap syarikat TJC di Mahkamah Tinggi Ipoh. Akan tetapi, mahkamah kemudiannya menolak writ saman tersebut.

Apabila kes itu tidak berjaya, TJC mengambil langkah lain dengan menyaman salah seorang pemandu lori iaitu Ramadas di Mahkamah Majistret Kampar pada September 2019.

Ramadas kemudiannya diwakili peguam Bawani KS, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kes berkenaan. Dalam hujahnya, Bawani berkata:

“…tuntutan syarikat TJC terhadap pekerjanya adalah bersifat res judicata (perkara yang hendak dibicarakan itu telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini), dan proses mahkamah telah disalahgunakan kerana ia telah melibatkan prosiding yang berulang untuk perkara sama yang sudah pun diputuskan di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini.” – Laporan SOSIALIS.net

Bawani menambah, pemandu-pemandu lori itu bukanlah pekerja kontraktor bebas, kerana mereka tidak pernah menandatangani sebarang kontrak perjanjian dengan pihak syarikat yang menyatakan mereka ialah kontraktor bebas.

Dengan kemenangan K Ramadas ini, sekali lagi hak pekerja ditegakkan dan membuktikan bahawa keberanian diperlukan bagi menentang sebarang ketidakadilan.

Sumber: SOSIALIS.net

_____

Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021

ARTIKEL BERKAITAN

STR Fasa 3 dibayar bulan depan: Maklumat senarai penuh penerima dan jumlah bayaran

STR Fasa 3 dibayar bulan depan: Maklumat senarai penuh penerima dan jumlah bayaran

Untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau…
Bantuan e-Dompet RM200 dibayar bulan ini: Senarai penuh penerima yang akan dikreditkan

Bantuan e-Dompet RM200 dibayar bulan ini: Senarai penuh penerima yang akan dikreditkan

Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan…
Tiga tahun tak dibayar OT: Ini kisah Pekerja Keselamatan yang menang tuntutan RM58,000

Tiga tahun tak dibayar OT: Ini kisah Pekerja Keselamatan yang menang tuntutan RM58,000

Penantian seorang Pekerja Keselamatan sebuah bengkel dan pusat tuntutan insurans akhirnya membuahkan hasil apabila menang kes tuntutan kerja lebih masanya…