Melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan akan memberikan bantuan RM500 secara one-off kepada golongan B40 yang kehilangan pendapatan.
Selain itu, bayaran tambahan RM500 juga akan diberi kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah.
Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin – kedua-dua bantuan khas itu akan dibayar mulai Jun depan ke akaun penerima. Ia juga akan melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan.
“Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO.” – PM
Menurut maklumat yang dikongsikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum ini, seramai lebih 7 ribu pekerja telah ditamatkan perkhidmatan akibat pelbagai faktor, setakat 11 Februari tahun ini.
Dari jumlah itu, antara punca utama kehilangan pekerjaan berkenaan adalah akibat – pengecilan tenaga kerja, penutupan perniagaan, serta ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atau Skim Pemisahan Bersama (MSS). Selain itu, terdapat juga yang kehilangan pekerjaan akibat masalah kewangan syarikat dan kerana ditamatkan kontrak perkhidmatan.
Lebih terperinci lagi, B40 bermaksud isi rumah yang memperolehi pendapatan 40 peratus terendah dari jumlah keseluruhan pendapatan rakyat Malaysia. Ia juga merujuk kepada pendapatan di bawah RM4,849.
Terdapat beberapa pembahagian isi rumah dalam kategori B40 ini iaitu mereka yang berpendapatan bawah RM2,500 diletakkan dalam kategori B1, RM2,501 hingga RM3,169 dalam B2, RM3,170 hingga RM3,969 dalam B3; manakala RM3,970 hingga RM4,849 adalah di bawah B4.
Sementara itu, kerajaan juga menetapkan harga siling bagi RON95 dan diesel pada paras RM2.05 dan RM2.15 seliter. Menurut Muhyiddin, ia bertujuan untuk melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak ketika ini.
Sumber: Berita Harian.
______
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021