Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan melalui banyak agensinya. Antaranya termasuklah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Salah satu skim bantuan di bawah JKM adalah Bantuan Am (BA) Persekutuan yang mempunyai objektif sebagai bantuan yang diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan serta kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar bantuan ini adalah minimum RM100 sebulan seorang dan maksimum RM350 sekeluarga. Berikut adalah maklumat lanjut mengenainya: –
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain; ATAU
- Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
Berdasarkan pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia pada 10 Julai 2020, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional ialah sebanyak RM2,208 sebulan bagi setiap isi rumah.
Cara Memohon
Kepada yang menepati syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan, permohonan BA Persekutuan boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat dengan tempat tinggal pemohon.
Bagi memudahkan urusan permohonan, pemohon juga perlu membawa dokumen-dokumen sokongan berikut:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
- Salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama;
- Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama;
- Salinan penyata gaji (jika ada);
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Bagi maklumat lengkap dan terperinci berkenaan skim bantuan ini, sila rujuk di portal rasmi JKM atau DI SINI.