Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri. Antaranya adalah bantuan-bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 oleh Kerajaan Persekutuan.
Bantuan-bantuan ini bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan sama ada dari kalangan mereka berpendapatan rendah (B40) atau sederhana (M40). Ia termasuklah dengan meneruskan pelaksanaan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi tahun 2024 ini. Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan bantuan ini: –
Bantuan Musim Tengkujuh (BMT)
Musim Tengkujuh atau Monsun Timur Laut adalah musim hujan yang selalunya berlaku dari bulan November hingga Mac setiap tahun. Pada musim ini, laut bergelora dan kebanyakan negeri-negeri seluruh Malaysia akan mengalami hujan lebat.
Akibat kekerapan hujan dan hujan lebat yang kadang kala berterusan ini, pelbagai jenis risiko muncul khususnya bencana banjir atau tanah runtuh. Dalam masa sama, musim ini juga menjejaskan sektor-sektor tertentu seperti mereka yang terlibat dalam aktiviti menoreh getah.
Prihatin dengan hal itu, pihak Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh atau BMT. Bantuan ini pada asasnya diberikan dengan tujuan untuk meringankan beban para penoreh getah atau pekebun kecil yang berkelayakan bagi menghadapi musim tengkujuh.
Kadar BMT yang ditetapkan pula adalah sebanyak RM800 dan diberikan secara empat fasa (RM200 setiap fasa).
Syarat-syarat Kelayakan
Bantuan ini diberikan kepada pekebun kecil dan mengusahakan lot bertanam getah atau penoreh yang tidak memiliki dan menoreh di lot bertanam getah dengan jumlah keluasan tanah 2.5 hektar ke bawah. Ini adalah yarat-syarat kelayakan BMT:
- Pekebun Kecil Getah
- Warganegara Malaysia sahaja.
- Pekebun kecil yang berdaftar dengan RISDA.
- Memiliki jumlah keluasan milikan tanah 0.1 hingga 2.5 hektar secara agregat.
- Pemilik tanah yang sah.
- Satu lot hanya seorang penerima sahaja (tanpa mengambil kira bilangan ahli kongsi).
- Seorang pekebun kecil hanya layak menerima bantuan sekali sahaja.
- Penoreh Getah
- Warganegara Malaysia.
- Penoreh yang berdaftar dengan RISDA.
- Menoreh di lot berkeluasan 0.1 hingga 2.5 hektar.
- Mendapat pengesahan daripada pemilik tanah / wakil yang sah.
- Mempunyai Kad Permit Autoriti Getah (PAT-G) atau Slip Pengaktifan PAT-G yang masih sah ketika permohonan dibuat.
- Satu lot hanya seorang penerima bantuan sahaja.
- Seorang penoreh hanya layak menerima bantuan sekali sahaja.
Cara Memohon BMT
Bagi yang menepati syarat-syarat kelayakan, permohonan Bantuan Musim Tengkujuh ini boleh dibuat secara secara atas talian (online) di Portal Pekebun Kecil RISDA atau mengisi borang permohonan di pejabat-pejabat RISDA terdekat. Permohonan dibuka mulai 1 Jun sehingga 30 September 2024.
Bagi pembayaran pula, ia akan dibuat secara kredit terus ke akaun penerima yang layak dan diluluskan permohonan mereka. Pembayaran akan dibuat secara berfasa pada bulan November 2024, Disember 2024, Januari 2025 dan Februari 2025. Kadarnya adalah sebanyak RM200b bagi setiap fasa.
Bagi yang telah membuat permohonan sebelum ini, kemaskini juga boleh dibuat di portal sama. Jika pemohon telah lupa kata laluan dan tidak menerima e-mel pengesahan, pemohon boleh ke laman utama Portal Pekebun Kecil RISDA dan klik pada butang “lula kata laluan” untuk penetapan semula kata laluan atau “Hantar Semula E-Mel Pengesahan” bagi yang belum terima e-mel pengesahan untuk pendaftaran Pengguna.
Pemohon kemudiannya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan klik butang hantar. Seterusnya pilih cara ingin menetapkan semula kata laluan/pengesahan semula pendaftaran:
- Penetapan melalui emel : link pengesahan akan dihantar melalui e-mel yang telah didaftarkan;
- Penetapan melalui SMS : SMS TAC akan dihantar melalui nombor telefon yang telah didaftarkan.
Untuk mereka yang mengemukakan permohonan dan hendak membuat semakan, ia boleh dilaksanakan di Portal Pekebun Kecil RISDA – DI SINI.