Golongan berpendapatan rendah dan sederhana sering kali menghadapi cabaran kewangan yang mencabar dalam kehidupan harian mereka. Dengan peningkatan kos sara hidup, perbelanjaan asas seperti makanan, perumahan, pendidikan, dan kesihatan boleh memberi tekanan yang besar kepada keluarga dalam golongan ini.
Ramai yang perlu membuat keputusan sukar untuk mengimbangi perbelanjaan harian, menyimpan untuk masa depan, dan pada masa yang sama, memastikan kesejahteraan ahli keluarga terjamin.
Menyedari keperluan ini, pelbagai inisiatif dan program bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk meringankan beban mereka. Bantuan ini merangkumi subsidi makanan, bantuan kewangan bulanan, program latihan kemahiran, dan inisiatif perumahan mampu milik.
Semua ini bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana membina kehidupan yang lebih stabil dan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
Hal yang sama juga apabila pihak Kerajaan memperkenalkan Sumbangan Asas Rahmah atau SARA. Ini adalah penjelasan lanjut berkenaan bantuan itu: –
Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Sumbangan Asas Rahmah atau SARA merupakan sebuah inisiatif kerajaan yang jug adalah bantuan tambahan kepada penerima STR. Seperti mana yang semua sedia maklum, STR 2024 diberikan kepada mereka yang menepati kelayakan berikut:
- Isi Rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Warga Emas Tiada Pasangan
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Had umur adalah 60 tahun dan ke atas; dan
- Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Bujang
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Had umur adalah 21-59 tahun; dan
- Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas; dan
- Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa; dan
- Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.
Manakala, penerima SARA 2024 pula perlu menepati syarat-syarat ini:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Pembayaran SARA 2024
Kadar pembayaran SARA adalah sebanyak RM1,200 bagi kategori isi rumah dan warga emas. RM600 pula diberikan kepada pemerima dari kategori bujang berkelayakan.
Cara pembayarannya pula adalah seperti berikut:
Penerima daripada Semenanjung Malaysia (selain Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan)
Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima. Penerima SARA boleh membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
Penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan
Bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.
Bagi penerima di Semenanjung, mereka boleh menggunakan SARA melalui MyKad mereka di di lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Barangan keperluan yang boleh dibeli adalah beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Bagi maklumat lanjut berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sila rujuk di Portal MyKasih – DI SINI.