Boleh dikatakan, majoriti masyarakat Malaysia mengetahui tentang Amanah Saham Bumiputera (ASB) – sebagai salah satu amanah saham paling popular di negara ini. Secara asasnya, ASB adalah amanah saham harga tetap yang ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit dan pelabur berpeluang memperoleh pulangan dalam bentuk agihan pendapatan tahunan.
Akan tetapi, amanah saham harga berubah pula melibatkan perubahan harga seunit setiap hari bergantung kepada Nilai Aset Bersih (NAB) setiap tabung. Pelabur pula berpeluang menerima pulangan dalam bentuk: agihan pendapatan tahunan dan keuntungan modal jika ada (harga jual meningkat berbanding harga beli).
Oleh itu, berikut adalah antara amanah-amanah saham harga berubah dari Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang kita perlu tahu: –
1. Amanah Saham Nasional
Objektif utama Amanah Saham Nasional adalah untuk menjana pulangan yang berpatutan dalam bentuk pengagihan pendapatan dan pertumbuhan modal kepada pemegang-pemegang unit melalui kepelbagaian portfolio pelaburan.
2. ASN Equity 2
Objektif utama ASN Equity 2 adalah memberi peluang kepada pemegang-pemegang unit untuk mendapat pulangan dalam bentuk pengagihan pendapatan dan pulangan modal pada tahap risiko yang berpatutan melalui pelaburan dalam kepelbagaian portfolio sekuriti.
3. ASN Equity 3
ASN Equity 3 diperkenalkan bagi menyediakan peluang pelaburan yang menjana pertumbuhan dan pulangan jangka panjang yang berpatutan untuk memenuhi sebahagian atau kesemua keperluan kecairan segera bagi membolehkan pemegang-pemegang unit menampung keperluan perbelanjaan kesihatan secara berterusan bagi diri mereka, anak-anak atau individu dibawah jagaan mereka.
4. ASN Equity Global
Amanah saham iniu bertujuan bagi memberi peluang pertumbuhan modal kepada pemegang-pemegang unit melalui pelaburan dalan sekuriti terutamanya di pasaran ekuiti global.
5. ASN Imbangan 1
ASN Imbangan 1 adalah amanah saham bagi menjana pertumbuhan modal dalam jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang menerusi pelaburan dalam portfolio yang seimbang dan melalui pelaburan semula pengagihan pendapatan, sekiranya ada.
6. ASN Sara 1
ASN Sara 1 menyediakan peluang pelaburan yang menjana pertumbuhan dan pulangan jangka panjang yang berpatutan dan pengaliran pendapatan yang stabil untuk membolehkan pemegang-pemegang unit dan/atau anak-anak dan/atau individu di bawah jagaan mereka mematuhi sebahagian atau kesemua keperluan persaraan mereka.
Cara mendaftar
Kepada mereka yang ingin mendaftar dan melabur di bawah ASNB, ia boleh dibuat dengan mengunjungi pejabat cawangan ASNB atau ejen ASNB bagi membuka akaun.
Dokumen-dokumen yang perlukan bagi tujuan itu adalah:
- 18 tahun ke atas – Kad pengenalan;
- Bawah 18 tahun – myKid/myKad / Sijil Kelahiran dan kad pengenalan ibu/bapa/penjaga.
Selain itu, pendaftaran juga boleh dibuat secara atas talian (online) dengan tatacara berikut:
- Muat turun aplikasi myASNB melalui App Store, Google Play, atau App Gallery;
- Daftar dan Sahkan Identiti;
- Boleh mula melabur.
Pelaburan permulaan adalah serendah RM10 untuk semua tabung unit amanah ASNB. Untuk maklumat lanjut dan syarat-syarat kelayakan berkenaan amanah-amanah saham di bawah ASNB, boleh rujuk – DI SINI.