Seperti mana yang semua sedia maklum, pihak kerajaan telah memperkenalkan program Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.
Berdasarkan kenyataan dari KWSP, permohonan pengeluaran khas ini dibuka bermula 01 April 2022 sehingga 30 April 2022. Manakala, semakan kelulusan permohonan pula boleh dibuat mulai 09 April 2022 dan pembayaran bermula pada 20 April 2022.
Akan tetapi, terdapat pelbagai lagi bantuan-bantuan kerajaan yang akan dilaksanakan pada bulan April ini. Berikut adalah senarai tarikh pelaksanaannya: –
Bantuan Tablet Percuma Untuk B40
Melalui Bajet 2022, pihak kerajaan telah memperkenalkan sebuah program yang dikenali sebagai Pakej Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang memberikan bantuan tablet percuma kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) daripada golongan B40.
Permohonan bantuan ini akan dibuka pada pertengahan bulan April 2022 berdasarkan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 1
BKM adalah bantuan kewangan bersasar yang diberikan kepada rakyat Malaysia berdasarkan tingkat pendapatan masing-masing. Pembayaran BKM Fasa 1 bagaimanapun telah disalurkan kepada yang layak secara berperingkat bermula pada 28 Mac sehingga 8 April 2022.
Biasiswa MyBrainSc
Biasiswa MyBrainSc adalah sebuah bantuan kewangan pendidikan khusus kepada mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Pertama dan Pasca Ijazah secara sepenuh masa dalam bidang sains tulen iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik di Universiti Awam (UA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan universiti terkemuka luar negara.
Permohonan biasiswa ini dibuka mulai 15 Mac (5 petang) sehingga 14 April 2022 (11.59 malam). Untuk mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut syarat-syarat berkenaan biasiswa ini, sila rujuk – DI SINI.
Bantuan Zakat MAINPP
Melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), permohonan Bantuan Dermasiswa Pengajian Zakat Pulau Pinang telah dibuka mulai 23 Mac 2022 sehingga 22 April 2022.
Dermasiswa ini terbuka kepada semua pelajar yang berkelayakan di peringkat – Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Untuk maklumat lengkap dan terperinci berkenaan bantuan ini, rujuk – DI SINI.