Keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat telah menjadi antara salah satu isu utama di kalangan rakyat Malaysia. Prihatin dengan hal itu, pihak Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan kepada mereka yang memerlukan di bawah Belanjawan 2024.
Antaranya adalah dengan melaksanakan bantuan khusus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang benar-benar memerlukan. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan berkenaan: –
Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Antara bantuan yang menjadi perhatian utama adalah Sumbangan Tunai Rahmah atau STR. Bantuan ini pada asasnya merupakan kesinambungan bantuan-bantuan tunai sebelum ini seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan sebagainya.
Ia juga merupakan bantuan yang diberikan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40) mengikut kadar yang ditetapkan.
Dalam masa sama, terdapat juga bantuan tambahan yang diberikan kepada penerima STR iaitu Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bantuan ini diberikan khusus kepada mereka yang menepati kriteria berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Jumlah bayaran SARA pula adalah sebanyak RM1,200 (bagi isi rumah dan warga emas) dan RM600 (bagi bujang).
Bantuan Melalui MyKad
Pembayaaran SARA melalui dua kaedah utama iaitu secara kreditkan terus ke MyKad atau pembayaran seperti STR. Bagi penerima di Semenanjung, mereka akan menerima SARA dengan kaedah dikreditkan terus ke MyKad masing-masing.
Pengkreditan dibuat setiap bulan mulai Januari hingga Disember 2024 dengan kadar sebanyak RM100 atau RM50. Pembayaran pertama akan dilakukan mulai 22 Januari 2024 manakala bayaran seterusnya mulai Februari 2024 akan disalurkan ke akaun MyKad penerima pada 1 hari bulan setiap bulan seperti jadual di bawah:
Ia kemudiannya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian (dengan menggunakan MyKad) dari 13 kategori iaitu beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Cara menggunakannya adalah seperti berikut:
- Pilih Barangan Keperluan: Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 13 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
- Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan: Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
- Imbas Kod Barangan: Juruwang mengimbas setiap barang keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
- Bayar Menggunakan MyKad: Penerima bantuan memasukkan nombor pin 6-digit untuk mengesahkan transaksi pembelian.
- Simpan Resit Untuk Semakan: Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Akan tetapi, dimaklumkan bahawa pembelian adalah terhad kepada barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan sahaja. Pembelian selain barangan tersebut dan pembelian melebihi baki semasa SARA dalam MyKad perlu dibayar oleh penerima.
Baki elaun bulanan yang tidak habis digunakan, ia akan dibawa ke bulan-bulan seterusnya dan boleh digunakan bersama dengan elaun bulan semasa. Namun begitu, sebarang baki elaun yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2024 akan luput secara automatik.
Pembayaran SARA bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan
Untuk para penerima SARA di Sabah, Sarawak dan Labuan – pembayaran SARA akan dibuat seperti mana pembayaran STR iaitu secara kredit terus ke akaun bank atau pengambilan tunai di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank aktif.
Pembayaran dibuat sebanyak dua kali iaitu bayaran pertama mulai 19 Februari 2024 dan bayaran kedua mulai 4 September 2024.
Bagi yang ingin membuat semakan kelayakan SARA, ia boleh dibuat secara atas talian (online) di Portal Rasmi STR seperti tatacara berikut:
- Klik log masuk MySTR;
- Masukkan Nombor MyKad Pemohon;
- Pengesahan Kata Kunci Keselamatan;
- Masukkan Kata Laluan;
- Klik Semakan Status;
- Maklumat yang akan dipaparkan:
- Status Permohonan
- Maklumat Pembayaran (Jika Ada)
Bagi maklumat lebih lengkap dan terperinci berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI.