Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri.
Antaranya adalah melalui bantuan-bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 seperti mana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Pihak Kerajaan juga telah bersetuju untuk meneruskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada rakyat Malaysia daripada kalangan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Dalam masa sama, terdapat juga bantuan tambahan kepada para penerima STR yang menepati syarat-syarat khusus dan ia dikenali sebagai Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Ini adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan tambahan itu: –
Bantuan Tambahan STR
Pada asasnya, STR adalah kesinambungan bantuan-bantuan tunai sebelum ini iaitu seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Keluarga Malaysia (BPR) dan sebagainya. Ia bertujuan untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Syarat-syarat kelayakan STR pula adalah seperti berikut:
- Isi Rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Warga Emas Tiada Pasangan
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat;
- Had umur adalah 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Bujang
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat;
- Had umur adalah 21-59 tahun;
- Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas;
- Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa;
- Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.
Selain itu, terdapat juga penerima sedia ada STR yang layak menerima bantuan tambahan atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bantuan ini melibatkan sumbangan kewangan sebanyak RM1,200 (kepada isi rumah dan warga emas) dan RM600 (kepada bujang).
Pada tahun 2024, SARA dijangka akan dimanfaatkan oleh lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
Syarat-syarat Kelayakan SARA adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Semak SARA
Pembayaran SARA bagaimanapun dibuat dengan dua kaedah:
- Penerima daripada Semenanjung Malaysia
- Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.
- Penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
- Bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.
Bagi di Semenanjung, SARA boleh digunakan untuk membeli barangan runcit di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad. Antara 13 kategori produk yang diluluskan adalah beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Semakan kelayakan SARA boleh dibuat secara atas talian (online) di Portal Rasmi STR dengan tatacara berikut:
- Klik log masuk MySTR;
- Masukkan Nombor MyKad Pemohon;
- Pengesahan Kata Kunci Keselamatan;
- Masukkan Kata Laluan;
- Klik Semakan Status;
- Maklumat yang akan dipaparkan;
- Status Permohonan
- Maklumat Pembayaran (Jika Ada)
Mereka yang layak juga dimaklumkan melalui surat pemakluman dan Sistem Pesanan Ringkas / aplikasi WhatsApp (SMS) daripada MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima di bawah program ini, berserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.
Untuk maklumat lengkap berkenaan SARA ini, sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI atau di Portal Rasmi STR (DI SINI).