Seperti yang telah dimaklumkan, pihak Kerajaan akan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Akan tetapi, sebenarkan mungkin ada di antara kita yang telah terlepas pandang dengan pelbagai jenis insiatif dan bantuan yang diperkenalkan di bawah Bajet 2022 sebelum ini. Selain Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), berikut adalah senarai inisiatif dan bantuan terlibat:
E-Wallet RM150 ‘one-off’
Program E-Pemula merupakan sebuah bantuan kewangan berbentukan e-Wallet sebanyak RM150 secara ‘one-off’ kepada para belia berumur 18 hingga 20 tahun dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi. Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 11 April 2022 sehingga 1 Jun 2022 dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.
BAP RM150 ‘one-off’
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) melibatkan sumbangan wang tunai sebanyak RM150 secara ‘one-off’ bagi meringankan beban kewangan ibu bapa/penjaga dalam persediaan awal persekolahan. Pembayaran BAP untuk tahun 2022 telah pun selesai.
Pakej Perjalanan My50
Pakej ini adalah pas perjalanan tanpa had selama 30 hari untuk Rapid KL LRT, MRT, Monorail, BRT, bas Rapid KL dan bas perantara MRT di Lembah Klang dengan nilai hanya RM50. Manakala, Pas My50 Mutiara pula menawarkan 30 hari perjalanan tanpa had untuk semua warganegara yang menggunakan servis bas Rapid Penang.
Program Baucar RM75 Perlindungan Tenang (PTV)
PTV pada asasnya merupakan skim bantuan kewangan untuk memperluas perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah. Caranya adalah dengan pemberian baucar RM75 diberi kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 yang layak bagi membantu mereka membeli produk Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen.
Bantuan Tablet Percuma
Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif bagi menyediakan peranti (tablet) kepada mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40.
Peranti yang dibekalkan ialah sebuah tablet berjenama Samsung Galaxy Tab A8 LTE dengan disertakan sekali bersama aksesori tulen seperti papan kekunci (keyboard), pen stylus dan casing.
Untuk senarai lengkap bantuan dan inisiatif di bawah Bajet 2022 boleh dirujuk di Portal Laman Khas Bajet – DI SINI.