Golongan B40 atau 40% isi rumah berpendapatan terendah di Malaysia. Dalam konteks ekonomi negara, mereka adalah kumpulan yang paling terkesan oleh kenaikan kos sara hidup, kekangan kewangan, dan ketidaktentuan ekonomi. Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja bergaji rendah, petani, nelayan, dan juga ibu bapa tunggal yang bergelut untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pendidikan, dan kesihatan.
Kehidupan golongan B40 sering kali dipengaruhi oleh jurang pendapatan yang semakin melebar. Dalam usaha menangani cabaran ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan tunai, subsidi perumahan, dan program pendidikan percuma untuk memastikan golongan ini tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Namun, cabaran mereka tidak berhenti di situ. Golongan ini juga sering berdepan dengan risiko kehilangan pekerjaan, kesukaran mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti, dan kekurangan peluang untuk meningkatkan taraf hidup.
Di pihak Kerajaan, terdapat sebuah bantuan yang telah diperkenalkan iaitu Sumbangan Asas Rahmah atau SARA. Berikut merupakan maklumat lanjut tentang bantuan ini: –
Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Sumbangan Asas Rahmah atau SARA adalah bantuan tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menepati syarat-syarat khusus. Ia juga adalah bantuan bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.
Syarat-syarat kelayakan SARA 2025 adalah seperti berikut:
- SARA Miskin Tegar dan Miskin eKasih
- Warganegara Malaysia; dan
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2024.
- SARA Isi Rumah dan Warga Emas Tiada Pasangan STR 2025
- Warganegara Malaysia; dan
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 kategori Isi Rumah dan Warga Emas Tiada Pasangan.
Untuk makluman, pemberian SARA 2025 adalah secara automatik berdasarkan data Miskin Tegar dan Miskin eKasih sehingga 31 Oktober 2024. Akan tetapi, pada tahun ini – SARA turut diperluas kepada semua penerima STR 2025 kategori Isi Rumah dan Warga Emas Tiada Pasangan.
Penerima SARA akan dimaklumkan melalui surat lulus STR 2025 bersekali kelayakan SARA kepada alamat berdaftar dalam permohonan STR. Penerima SARA yang layak juga akan menerima Sistem Pesanan Ringkas / aplikasi WhatsApp daripada MyKasih untuk mengesahkan status
mereka sebagai penerima di bawah program ini, berserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Jumlah SARA 2025
Cara pembayaran SARA 2025 adalah secara kredit terus ke MyKad penerima dan ia boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) di di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara.
Buat masa ini, terdapat lebih daripada 1,200 rakan niaga di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Barangan yang boleh dibeli pula perlu dalam 13 kategori produk yang diluluskan iaitu beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Penerima STR 2025 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2025 berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2025 – Disember 2025).
Manakala, jumlah tambahan kepada semua penerima STR 2025 kategori Isi Rumah dan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 9 bulan (April 2025 – Disember 2025).
Dimaklumkan bahawa pembelian melalui SARA adalah terhad kepada barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan sahaja. Pembelian selain barangan ini dan pembelian melebihi baki semasa SARA dalam MyKad perlu dibayar oleh penerima.
Baki elaun bulanan yang tidak habis digunakan pula akan dibawa ke bulan-bulan seterusnya dan boleh digunakan bersama dengan elaun bulan semasa. Akan tetapi, sebarang baki elaun yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2025 akan luput secara automatik.
Bagi maklumat lanjut tentang Sumbangan Tunai Rahmah 2025, sila rujuk di Portal Rasmi STR – DI SINI.