Seorang wanita dapat RM40k selepas dipecat kerana hamil. Ini hak wanita hamil bekerja

Salah satu perkara negatif yang dikaitkan dalam dunia pekerjaan adalah diskriminasi terhadap golongan wanita. Hal itu bertambah masalah lagi apabila wanita yang telah berumah tangga kadang kala berdepan dengan layanan tidak adil daripada majikan. Pada tahun 2016, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) melaporkan, 40 peratus daripada 222 wanita hamil di sektor swasta menjadi mangsa diskriminasi dan penindasan majikan, termasuk dibuang kerja.

Jadinya, adakah tindakan majikan membuang pekerja wanita yang hamil sah di sisi undang? Jika tidak sah, apakah peruntukannya dan bagaimana untuk mendapatkan keadilan?

Undang-undang telah menetapkan wanita bersalin akan terima cuti selama 60 hari

Juga dikenali sebagai cuti berpantang. Gambar: Pa&Ma.

Sebenarnya, telah termaktub dalam undang-undang bahawa setiap wanita yang hamil itu akan mendapat cuti selama 60 hari berturut-turut apabila bersalin nanti. Akan tetapi, jika pakar perubatan yang dilantik syarikat menyatakan seseorang wanita hamil itu tidak dapat melakukan tugasnya kerana keadaan kandungannya, maka pekerja berkenaan boleh mengambil cuti dalam tempoh 14 hari sebelum hari dijangka bersalin berkenaan.

Malah, menurut Seksyen 38, Akta Kerja 1955 – sepanjang tempoh cuti bersalin itu, pekerja berkenaan berhak mendapat elaun mengikut kadar gaji bulanannya seperti biasa.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan elaun dalam tempoh cuti bersalin berkenaan, pekerja itu harus menepati syarat-syarat berikut:

  • Pekerja mestilah mempunyai lima atau kurang daripada lima orang anak yang masih hidup.
  • Pekerja mestilah telah bekerja dengan majikan untuk tempoh, atau jumlah keseluruhannya adalah 90 hari dalam tempoh 9 bulan sebelum bersalin.
  • Pekerja mestilah telah diambil bekerja oleh majikan pada bila-bila masa dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin.

 

Dalam masa sama, pekerja turut perlu memaklumkan kepada majikannya tentang tarikh bermulanya cuti bersalin tersebut. Jika pekerja gagal berbuat demikian, majikan boleh menggantung elaunnya.

Majikan TIDAK BOLEH memberhentikan pekerjanya yang cuti bersalin

Antara diskriminasi terhadap wanita. Gambar: SheKnows.

Walaupun kita mungkin pernah mendengar tentang kes adanya pekerja yang diberhentikan semasa cuti bersalin, hal itu sebenarnya salah sama sekali. Ini kerana, Seksyen 37(4), Akta Kerja 1955 menyatakan perkara itu sebagai melanggar undang-undang, melainkan pemberhentian itu berlaku disebabkan syarikat gulung tikar.

Majikan hanya boleh memberhentikan pekerja yang bersalin, selepas tamat tempoh cuti bersalinnya, itupun dengan alasan dan sebab yang munasabah. Jika tidak, pekerja berkenaan berhak mendapatkan keadilan atas pemecatan tersebut. Dan jika pemecatan itu berlaku sebelum cuti bersalin pula, ia juga perlu dilihat sama ada pemecatan itu atas sebab munasabah atau tidak. Hal begitu jugalah yang terjadi apabila…

Seorang wanita diberi pampasan RM40,000 selepas dipecat kerana hamil

Noorfadilla Ahmad Saikin membawa kesnya ke Mahkamah. Gambar: Malay Mail.

Kes ini terjadi kepada seorang bekas guru sandaran tidak terlatih, Noorfadilla Ahmad Saikin yang dipecat dari tugasnya selepas didapati hamil tiga bulan. Kecewa dengan keputusan itu, beliau bertindak menyaman Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2011 selepas itu membuat keputusan bahawa kehamilan bukanlah alasan sah untuk Jabatan Pendidikan Selangor menafikan penggajian Noorfadilla sebagai guru sandaran tidak terlatih. Selepas melalui banyak proses mahkamah, akhirnya pada 2018 – Mahkamah Persekutuan memutuskan Noorfadilla diberikan RM40,000 sebagai ganti rugi am.

Selain itu, jika anda juga menjadi mangsa pemecatan secara tidak adil, anda sebenarnya boleh membuat aduan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan dalam tempoh 60 hari selepas dipecat. Selalunya, kes sebegini akan diselesaikan secara rundingan terlebih dahulu. Namun begitu, jika jalan rundingan tidak berhasil, kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Perusahaan untuk perbicaraan.

Di sanalah, mahkamah akan melihat dan menilai segala hujah daripada kedua-dua pihak, sebelum membuat sebarang keputusan. Jika kes menyebelahi pekerja, beliau akan mendapat faedah tertentu seperti jawatannya kembali atau diberikan pampasan.

Jadinya, hal ini membuktikan bahawa majikan sememangnya tidak boleh sesuka hati memecat mana-mana pekerjanya tanpa alasan munasabah, apatah lagi kepada wanita dengan hanya kerana wanita itu hamil.

 

Sumber: Gajimu.my, Asklegal & Utusan Borneo.

________

Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021

ARTIKEL BERKAITAN

Pengambilan Jawatan Kosong MIROS, Ambilan Disember 2024: Gaji RM1,500 - RM4,680

Pengambilan Jawatan Kosong MIROS, Ambilan Disember 2024: Gaji RM1,500 - RM4,680

Pada ketika ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mencari calon yang berkualiti untuk mengisi jawatan kosong yang…
Bantuan Bina Rumah Atas Tanah Sendiri: Ini Syarat-Syarat & Memohon Rumah Mesra Rakyat

Bantuan Bina Rumah Atas Tanah Sendiri: Ini Syarat-Syarat & Memohon Rumah Mesra Rakyat

Rumah bukan sekadar tempat berlindung, tetapi juga simbol kestabilan dan kesejahteraan hidup. Memiliki kediaman yang selesa menjadi impian setiap individu,…
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025: Ini jumlah bayaran untuk isi rumah, bujang dan warga emas

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025: Ini jumlah bayaran untuk isi rumah, bujang dan warga emas

Golongan B40 dan M40 merupakan tulang belakang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia. B40, yang merangkumi 40% penduduk dengan…